top of page
  • Farah

PRU15 sebaiknya tahun depan – Anwar


KANGAR, 25 Sep – Mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab akan memanggil Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam keadaan paling sesuai dengan mengambil kira semua faktor yang tidak membebankan rakyat.


Mengulas isu berkenaan, Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menjangkakan PRU15 mungkin diadakan tahun depan kerana tidak sesuai diadakan pada musim tengkujuh.

“Mana-mana kerajaan bertanggungjawab akan menetapkan tarikh dan masa yang sesuai serta tidak membebankan rakyat.


“Sebab itu kita prihatin permasalahan banjir, saya kira kalau keadaan itu lebih terkawal itu keputusan Perdana Menteri dan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong. Jadi (jangka) mungkin tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada malam Sabtu.


Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan kepimpinan MPN Perlis dalam siri Jelajah Presiden KEADILAN sehari ke negeri utara tanah air itu.


Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengulas perkara demikian selepas diminta memberi pandangan bilakah masa paling sesuai untuk mengadakan PRU-15 selepas beberapa pemimpin terutama daripada UMNO menggesa kerajaan mengadakannya dengan kadar segera.


Pada 22 September lalu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan adakah parti lawan benar-benar tidak mahu PRU15 diadakan kerana bimbangkan banjir.


Beliau mendakwa, PH sengaja menggunakan alasan tersebut sebagai muslihat untuk mengelak daripada perlu berdepan dengan penentuan rakyat.


Menurut beliau, majoriti rakyat hakikatnya sudah mengerti tentang agenda politik mereka yang songsang dan merosakkan serta tidak selari dengan nilai negara.


Namun persoalan Zahid pantas dijawab Kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang apabila sudah mengumumkan pelan persediaan banjir berserta dengan peruntukan awal di negeri masing-masing.


Ini jelas berbeza dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh Umno-BN seolah hanya menunggu bencana tiba, barulah agensi kerajaan pusat seperti NADMA menghulurkan bantuan bencana.


Keputusan tiga kerajaan negeri yang ditadbir PH itu membuatkan Zahid hilang punca kerana dilihat cuba memperlekehkan PH sedangkan beliau sendiri gagal meminta Ismail Sabri Yaakob mengarahkan kerajaan negeri Umno-BN bersiap-sedia menghadapi musim tengkujuh.

bottom of page