- newsatmy
Radzi hargai jasa warga pendidik, cabaran dua tahun berdepan pandemik COVID-19

LARUT, 15 Ogos – Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menghargai jasa bakti para pendidik apabila berdepan tempoh dua tahun yang begitu mencabar bagi sektor pendidikan akibat pandemik COVID-19.
Mohd Radzi berkata perkara itu dapat dilihat khususnya pengorbanan dan kesungguhan guru-guru dalam memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan biarpun melalui pelbagai cabaran.
“Terima kasih kepada seluruh warga pendidikan kerana di sebalik cabaran yang dilalui, komitmen anda semua telah menyaksikan banyak transformasi yang dapat sama-sama kita lakukan dalam sistem pendidikan negara.
“Antaranya adalah pemarkahan peperiksaan SPM dilakukan secara dalam talian, pemansuhan UPSR dan PT3 serta pemerkasaan pentaksiran berasaskan sekolah,” katanya dalam catatan di Facebook.
Terdahulu, Mohd Radzi hadir ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Warga Pendidik dan Sambutan Hari Guru Parlimen Larut Tahun 2022, baru-baru ini.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen BERSATU Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mohd Radzi berkata setiap guru perlu melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab untuk mengoptimumkan potensi anak-anak didik agar apabila tamat dari sistem pendidikan kelak, anak-anak ini mempunyai nilai serta keperibadian yang hebat dan mampu bersaing walau di mana mereka berada.
“Terima kasih cikgu. Jasa dan pengorbanan cikgu yang tidak pernah jemu mendidik dan mencorak anak-anak generasi pewaris negara amat saya sanjungi.
“Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA,” katanya.