Nihaba
Rafizi cabar Abd Latiff failkan saman

SHAH ALAM,26 Ogos - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad supaya memfailkan saman serta-merta terhadap dirinya jika semua dakwaan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Mersing dan isterinya dalam penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) itu tidak benar.
Rafizi juga turut mendesak Abd Latiff supaya mengambil tindakan sama terhadap Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) yang mengeluarkan laporan forensik mengenai LCS dan Alliance IFA (M) Sdn Bhd yang bertindak sebagai juruaudit sekiranya semua pendedahan itu palsu.
Ini kerana katanya, jawapan balas terbaharu yang diberikan menteri kabinet itu bahawa isteri-isterinya tiada bernama Zainab Mohd Salleh yang dikaitkan dengan isu projek berkenaan disifatkan sebagai penafian di Facebook semata-mata.
Beliau menjelaskan,Penafian Facebook Abd Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Abd Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd.
Beliau mengambil contoh skandal SRC dan 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa wang masuk ke akaun peribadinya. Apabila telah dibuktikan, barulah beliau menyebut wang itu dari derma hartawan Arab. Setelah disiasat, didapati pula wang itu datang dari tabung pencen rakyat, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, rakyat tidak lagi mempercayai penafian kosong oleh mana-mana menteri daripada UMNO atau Bersatu bersandarkan rekod sedia ada sebelum ini.
.
Pada Jumaat, melalui facebook Abd Latiff sekali lagi menegaskan isteri-isterinya tiada yang bernama Zainab Mohd Salleh dan tiada ahli keluarganya yang dikaitkan dengan isu projek LCS.,