- Farah
Rafizi hadir ke IPD Sentul petang ini
KUALA LUMPUR.3 Sept: Timbalan Presiden PKR,Rafizi Ramli dijangka akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada jam 3 petang ini susulan laporan polis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad.
Rafizi dipanggil polis susulan dakwaannya yang mengaitkan Abd Latiff dengan isu projek kapal tempur pesisir (LCS).
Disamping itu melalui ciapan di Twitter,beliau berharap pihak polis juga bertindak secepat mungkin untuk siasat laporan yang dibuat Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir terhadap Abd Latiff,
Sebagai rekod, pada Khamis, polis sudahpun mengambil keterangan Abd Latiff, berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, hari sebelumnya.
Sebelum ini Rafizi menyiarkan empat kenyataan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.
Rafizi mendakwa Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.
Pada 22 Ogos lalu, Abd Latiff, yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan dilaporkan menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.
Abd Latiff dilaporkan berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.
Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut membuat laporan polis ke atas Abd Latiff berkaitan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Selasa lalu.
Akmal Nasrullah berkata, laporan polis yang dibuat itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.
Comments