top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Rafizi tak pernah ada hubungan baik dengan Guan Eng – Saifuddin

25 April 2022

RAFIZI Ramli tiada kaitan dengan pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku penasihat kepada Lim Guan Eng ketika Ahli Parlimen Bagan itu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu selama setahun.


Saifuddin mendakwa, Rafizi yang juga pesaingnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR tidak mempunyai hubungan baik dengan Guan Eng.


“Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang?


“Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan pelantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.


Saifuddin turut menafikan kenyataan Rafizi yang mengatakan dirinya telah berkorban demi membantunya yang ‘hilang kerja’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13),

Menurutnya, beliau dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PKR pada 2016 bagi menggantikan Rafizi kerana bekas ahli Parlimen Pandan itu berdepan dengan kes-kes mahkamah termasuk kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).


“Hampir dua tahun selepas itu, iaitu pada November 2016 saya kembali dilantik oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Rafizi yang berdepan kes-kes mahkamah.

“Rafizi kata dia beri laluan kepada saya. Laluan selepas dua tahun,” ujarnya.


Semalam, Rafizi berkata beliau berkorban demi membantu Saifuddin ketika ‘hilang kerja’ selepas kalah pada PRU-13.


Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau memujuk Saifuddin kembali aktif dalam politik susulan kekalahannya pada 2013 selain memberi laluan kepadanya menjadi setiausaha agung parti, jawatan yang kekal disandang Saifuddin sehingga kini.


Sementara itu, Saifuddin menganggap percubaan Rafizi menjawab isu ‘bercuti’ adalah satu usaha yang baik.


Beliau tidak mempunyai niat memanjangkan isu ini dan sentiasa menghormati Rafizi sebagai rakan seperjuangan.


“Saya yakin pertandingan Timbalan Presiden ini tidak akan mencarikkan silaturrahim,” katanya.

bottom of page