• newsatmy

Rakyat perlu hayati keindahan aksara jawi

27 April 2021

MAJLIS pelancaran buku 'Budi Asas Tamadun' dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya', anjuran Yayasan Budi Malaysia baru-baru ini bukan sahaja menarik perhatian pengiat seni dan sastera malah pencinta seni khat jawi.


Kehadiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyempurnakan majlis pelancaran tersebut menunjukkan betapa komitednya kerajaan kepimpimpinan beliau untuk mengembangkan serta memantapkan penggunaan aksara jawi dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu.


Muhyiddin juga mengumumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan usaha menerusi agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam memajukan tulisan jawi.


Pengumuman perdana menteri tersebut disambut baik malah disokong orang Melayu kerana ia merupakan usaha murni untuk mengembalikan dan menghidupkan semula sejarah Tanah Melayu terhadap penggunaan tulisan jawi.


Melayu Awal


Sejak zaman kerajaan Melayu Awal lagi, tulisan jawi digunakan dalam semua urusan rasmi terutamanya dalam dokumen rasmi.


Bahkan karya-karya sastera tradisional yang dihasilkan juga menggunakan aksara jawi.

Kita juga tidak harus melupakan bahawa dokumen kemerdekaan negara ini juga termaktub dalam tulisan jawi.


Jika diimbau akan sejarah negara, kita akan sedar bahawa tulisan jawi adalah salah satu warisan negara yang telah lama digunakan dalam kalangan orang Melayu, sebelum Tanah Melayu dijajah oleh kuasa Barat.


Institusi Raja-raja Melayu menggunakan tulisan Jawi secara rasmi dalam urusan pentadbiran kerajaan dan juga penyediaan dokumen-dokumen rasmi seperti undang-undang dan Perlembagaan negeri.


Setelah Negeri-negeri Melayu diambil alih oleh penjajah, tulisan jawi masih terus digunakan.

Antara bukti terbaik ialah pewartaan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang disediakan dalam tulisan jawi pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.


Negeri-negeri Melayu yang lain seperti Pahang dan Perak turut mewartakan dokumen perundangan masing-masing iaitu Hukum Kanun Pahang dan Undang-undang 99 Perak dalam tulisan jawi.


Penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 di Sungei Teresat, Kuala Berang dan Batu Bersurat Pengkalan Kempas bertarikh 1467 di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan juga membuktikan kewujudan tulisan jawi di negara ini sebelum kedatangan pihak penjajah.


Apabila negara mencapai kemerdekaan, Institusi Raja sebagai warisan negara diperkukuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan, namun peranan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi Institusi Raja-raja Melayu pula terlepas pandang.


Ini membawa kepada tenggelamnya tulisan tersebut dalam arus pembangunan negara.

Kepentingan tulisan jawi seakan-akan dilupakan kerana lebih perhatian diberikan kepada bahasa Inggeris yang menjadi bahasa komunikasi utama dunia.


Dalam majlis yang sama, Muhyiddin turut melancarkan buku berjudul 'Budi Asas Tamadun', sebuah buku yang mengandungi hasil karya 13 penulis tempatan daripada berbagai kaum.


Buku ini memuatkan artikel-artikel tentang budaya, adat resam dan nilai kehidupan pelbagai kaum serta etnik di negara ini secara komprehensif.


Buku ini merupakan sebuah naskah yang julung-julung kali diterbitkan atas hasil usaha Tan Sri Dr Rais Yatim di bawah Yayasan Budi.


Dr Rais yang kini menjawat jawatan Yang diPertua Dewan Negara, merupakan tokoh budaya yang sangat tersohor malah seorang yang memperjuangkan penggunaan jawi di negara ini.


Menerusi buku ini, Dr Rais mahu memperjelaskan bahawa budaya dan ketamadunan dari pelbagai kaum harus diadunkan dalam kehidupan masyarakat secara inklusif dalam melahirkan sebuah ketamadunan Malaysia yang tinggi.


Dalam mencipta satu tamadun yang gemilang dan terbilang, budi adalah salah satu aspek yang perlu dititikberatkan.


Kemajmukan kaum di Malaysia melahirkan sebuah warisan negara yang teradun dengan nilai-nilai budi daripada ketamadunan Melayu, Cina dan India.


Warisan budi dari pelbagai budaya tersebut memperkayakan dan menguatkan lagi nilai estetika tempatan sehingga menjadi aset dan kekuatan Malaysia.


Tulisan jawi, seperti disarankan oleh Dr Rais, perlu dilihat oleh rakyat Malaysia khususnya warga bukan Melayu daripada perspektif estetika dan falsafah serta bukan semata-mata daripada perspektif agama Islam.


Tulisan jawi amat bernilai tinggi dan indah serta mudah diadunkan dalam budaya-budaya lain, khasnya dalam seni khat.


Di China sendiri, orang Tiong Hua sudah menggunakan tulisan jawi dalam bentuk seni khat secara meluas sejak dahulu lagi.


Dari perspektif sejarah pula, tulisan jawi bukanlah hanya untuk orang Melayu Islam sahaja, sebaliknya berperanan sebagai alat perhubungan umum bagi semua lapisan masyarakat sebelum merdeka.


Malah, jawi merupakan warisan negara yang tiada tolok bandingannya dan dengan itu, tuntutan orang Melayu untuk mengembalikan penggunaan jawi tanpa mengetepikan bahasa lain adalah munasabah.


Oleh itu, tulisan jawi sebagai seni khat wajar dikembangkan dalam negara, sambil mempertingkatkan usaha-usaha untuk menerapkan nilai murni atau budi dari pelbagai budaya dalam kalangan rakyat supaya dapat melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bertamadun tinggi.


-Astro Awani