top of page
  • Writer's pictureNizam

Rakyat Salah Atau Kerajaan Yang Salah?

6 Jun 2021


Tidak dapat disangkal lagi bahawa pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu telah mencetuskan pertambahan kes yang sangat drastik. Pada minggu pertama sahaja, seusai PRN Sabah, sebanyak 2,979 kes Covid-19 telah dilaporkan dan ia merangkumi 70 peratus kes baru yang dilaporkan di negeri itu antara 26 September (hari mengundi) sehingga 12 Oktober, ketika kerajaan mula menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah dan beberapa negeri lain.


Walaupun jumlah kes berbeza mengikut daerah dimana daerah dengan kes tertinggi adalah Semporna (95.7 peratus), Tawau (79.5 peratus) dan Lahad Datu (96.7 peratus), namun ia menjadi petanda awal kluster PRN Sabah akan meledak hingga ke Semenanjung Malaysia.

Di luar Sabah, kajian itu sekurang-kurangnya telah menganggarkan 64.4 peratus kes baru ketika tempoh itu boleh dikaitkan dengan kesan limpahan daripada PRN itu, dengan tambahan 1,741 kes. Ini menjadikan sejumlah 4,720 kes di seluruh negara berkaitan PRN itu.


Di Semenanjung, kebanyakan kes dilaporkan di kawasan bandar antaranya daerah Petaling, Kuala Lumpur dan Johor, tetapi kesemua 114 daerah di luar Sabah yang ada kes Covid-19 ketika itu mengalami kesan limpahan pada takat tertentu.


Satu kajian telah dibuat oleh satu kumpulan yang kebanyakan anggotanya di Saw Swee Hock School of Public Health Universiti Kebangsaan Singapura yang bertujuan menjadikan PRN Sabah sebagai kajian kes bagi menaksir bagaimana perhimpunan ramai boleh menyebabkan penularan Covid-19. Hasil penemuan mereka menunjukkan, anggaran lonjakan kes yang dibuat mereka bukan berpunca daripada tren sedia ada, usaha pemantauan dan/atau dasar pencegahan tetapi menunjukkan kemungkinan perhimpunan ramai di satu kawasan 'melimpah' kepada penularan di seluruh negara.


Mereka juga telah merumuskan tentang risiko pelonggaran sekatan perhimpunan ramai dan pertimbangan terhadap usaha pelonggaran ini perlu dibuat secara cermat, walaupun ketika jangkitan komuniti yang rendah dan penguatkuasaan garis panduan penjarakan yang selamat.


Kajian itu adalah berdasarkan pemodelan komputer trend Covid-19 di Malaysia dari 22 Mac hingga 12 Oktober - iaitu ketika sehari sebelum bermulanya PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah seperti yang dipaparkan info grafik di bawah.



Antara penemuan lain yang dinyatakan secara spesifik oleh mereka adalah sejak 10 Jun hingga hari mengundi pada 26 September tahun lalu, terdapat hanya sekitar 16 kes baru sehari di Malaysia. Bagaimanapun, 17 hari selepas itu - iaitu selepas PRN hingga penguatkuasaan PKPB - ia meningkat kepada 190 kes sehari, dengan kira-kira 154 kes dilaporkan di Sabah.


Seperti yang kita ketahui, PRN itu terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas. Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan memandangkan pembubaran itu tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan yang menyatakan secara jelas bahawa pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas DUN dibubarkan dan tidak boleh ditangguh. Berbeza jika Yang di-Pertua Negeri Sabah menerima usul bekas ketua menterinya Musa Aman yang cuba menjatuhkan kerajaan negeri menerusi peralihan sokongan Adun pada 29 Julai 2020. Jika peralihan dibuat secara lancar dan tanpa dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, lonjakan kes Covid-19 ini tidak akan berlaku dan proses mengawal penularan penyakit ini akan menjadi lebih effektif.


Perkara ini turut diakui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau. Tambah beliau, SPR telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketika kempen pilihan raya, namun ada SOP yang tidak dipatuhi. Ketika ini, bolehlah kita rumuskan PRN Sabah yang berpunca daripada pergolakan politik di dalam negara yang melibatkan kerajaan persekutuan di bawah Perikatan Nasional dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan parti Warisan. Jelas, tidak akan timbul isu perhimpunan rakyat bersakala besar semata-mata untuk mengundi, tidak akan timbul isu rakyat sebagai pengundi tidak mematuhi SOP yang telah digariskan oleh KKM dan tidak akan timbul ledakan kes Covid-19 ini di negeri-negeri Semenanjung akibat pergerakan ahli-ahli politik pro-kerajaan mahupun mereka yang pro-pembangkang.


Pada masa yang sama juga penularan penyakit Covid-19 ini telah berlaku dikalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran yang ditahan di pusat tahanan yang menjangkiti tahanan lain, kakitangan pusat tahanan, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat. Ini membuktikan bahawa betapa longgarnya SOP yang dipraktiskan di pusat tahanan dan penguatkuasaan yang tidak diberi penumpuan oleh KKM dan agensi penguatkuasaan.


Apapun, kerajaan ketika itu telah mengambil langkah segera untuk mengawal penularan wabak ini ke tempat-tempat lain dengan mempertingkatkan kawalan sempadan di negeri Sabah serta menambah jumlah anggota keselamatan yang bertugas dan mengatur gerak aset-aset seperti kapal dan bot peronda untuk mengawal sempadan perairan negara, malah beberapa daerah di Sabah dan Kedah juga telah diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau Targeted Enhanced Movement Control Order (TEMCO).


Mari kita lihat pula adakah wabak penyakit Covid-19 ini Berjaya dikawal penularannya setelah PRN Sabah. Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, usaha bersama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 negeri Sabah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berjaya mengekang penularan wabak Covid-19. Tambah beliau lagi, kesan positif terhadap pengawalan pergerakan itu dibuktikan pada hujung November tahun lalu dimana jumlah kes positif semakin berkurang sehingga ke hari ini. Kes Covid-19 di Sabah juga telah direkodkan hanya sebanyak 54 kes pada 11 Mac 2021 jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kes tertinggi pernah direkodkan di Sabah adalah sebanyak 927 kes positif, pada 26 Oktober 2020.


Berbeza dengan situasi yang dihadapi di negeri-negeri lain, meskipun gelombang ketiga penularan Covid-19 kini lebih membimbangkan dengan peningkatan kes sehingga empat angka sehari, namun kerajaan tidak menekan butang panik untuk melaksanakan semula PKP sebaliknya mengambil langkah strategik dalam mengawal penularan wabak itu. Ini kerana kerajaan sedar dan maklum yang ekonomi negara bakal terjejas teruk jika dilaksankan PKP menyeluruh. Rungutan banyak pihak berkaitan isu pengangguran, pelaburan asing yang merudum, ekonomi suram, serta kenaikan kos sara hidup apabila harga barangan keperluan melambung tinggi sentiasa disantuni dan menjadi faktor penentu keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan PKP secara menyeluruh. Ketika ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia setakat semalam (24 Disember) mencecah 100,318 kes dengan kes positif harian sebanyak 1,581 kes.


Akhirnya, Pada 12 Januari 2021 darurat kesihatan telah diisytiharkan dan bilangan kes positif Covid Ketika itu ialah 141,533 dengan 559 kematian. Pada 1 Mei 2021, jangkitan ini terus meningkat kepada 411,594 dengan 1,521 kematian.


Keadaan menjadi lebih parah apabila rakyat yang majoritinya beragama Islam menyambut 1 Syawal tanpa rasa bersalah apabila tetap menziarahi sanak keluarga, golongan selebriti dengan angkuhnya memuat status pergerakan mereka sebelum raya, ketika raya dan selepas raya, dan tidak lupa juga ahli politik dan juga pak menteri tidak kira dari kerajaan negeri yang dikuasai oleh pembangkang mahupun kerjaan persekutuan dan kerajaan negeri yang dikuasai oleh Perikatan Nasional gagal menghormati dasar dan perintah yang telah dikuatkuasakan oleh mereka sendiri. Bayangkan jika larangan rentas negeri dan daerah serta larangan ziarah raya tidak dikuatkusakan 12 Mei baru-baru ini, berapakah jangkaan unjuran angka jangkitan kes Covid-19 di Malaysia? Bawah 10,000 seperti sekarang? 30,000 atau 50,000 kes sehari? Salah, kerana yang sebetulnya ia boleh melonjak hingga 100,000 kes sehari.


Kerajaan membuat sesuatu keputusan berdasarkan faktor-faktor yang signifikan. Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, kerajaan sedar yang Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional. Kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut Kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.


Ya, rakyat marah apabila:-


i. Larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, dan temu janji vaksinasi;


ii. Melarang semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta. Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka juga tidak dibenarkan. Majlis akad nikah adalah dibenarkan hanya dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam;

iii. Melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal;

iv. Semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

v. Bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada tiga orang sahaja dan kini hanya dua orang sahaja termasuk pemandu. Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan. Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

vi. Dine-in di restoran dan kedai makan adalah TIDAK DIBENARKAN. Penjualan makanan secara pandu lalu dan take-away adalah dibenarkan;

vii. Ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

viii. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

ix. Operasi Rumah Ibadah Bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan;

x. Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan. Tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan pada 8 Mei 2021.


Cuma adakah kita sedar yang larangan- larangan ini dikuatkuasakan bermula 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021 adalah disebabkan oleh kita sendiri. Tahukah kita yang Kluster Raya menjadi punca lonjakan kes Covid-19 di Melaka, Kelantan dan Terengganu? Tahukah kita yang kes Covid-19 melonjak disebabkan ada diantara kita yang masih berdegil untuk solat berjemaah dan solat tarawih tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan? Tidak kurang juga yang mempertikaikan hukum yang difatwakan seolah-olah lebih takutkan makhluk dari Tuhan Yang Esa. Ahli-ahli politik terus mengelirukan rakyat hanya untuk kepentingan politik jauh berbeza dengan negara-negara lain apabila semua bersatu mendepani Covid-19 untuk kebaikan rakyat dan negara. Bukan setakat itu sahaja, ada diantara mereka yang sengaja memainkan sentimen dan menimbulkan api kebencian kepada usaha kerajaan dengan hasrat untuk membuktikan yang sememangnya kerajaan ini merupakan kerajaan yang gagal kepada rakyat.


Secara kesimpulannya, memang diakui kerajaan sekarang ini bukanlah kerajaan yang diimpikan semua dan jika difikirkan secara munasabahnya, bukanlah kerajaan yang dipilih rakyat tetapi kerajaan inilah yang tidak henti-henti memikirkan mengenai kemaslahatan rakyatnya dengan pelbagai mekanisme bantuan kewangan dan keperluan harian jauh lagi baik jika dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan terdahulu. Kita juga perlu akui penularan wabak Covid-19 ini adalah secara majoritinya berpunca daripada kita sendiri apabila kita gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan, gagal mematuhi larangan yang dikuatkuasakan, gagal memahami keindahan Islam itu sendiri dalam menangani wabak penyakit berjangkit, gagal di dalam membentuk kebersamaan untuk mendepani krisis yang sedang melanda negara dan yang akhir sekali, kita gagal menilai dengan baik yang mana permata dan yang mana kaca sehingga termakan dengan propaganda sesetengah ahli politik yang menghasut rakyat demi mengaut laba politik dan kuasa pemerintahan negara.


Anda berhak menentukan siapa yang gagal tapi sejujurnya kerajaan gagal untuk mengawal penularan wabak penyakit Covid-19 ini apabila kita sebagai rakyat gagal memainkan peranan kita sebagai warganegara yang berdisiplin dan mempunyai jati diri dalam meletakkan kepentingan negara itu sebagai keutamaan yang nombor satu, mengatasi keutamaan diri.



Mohamed Nizam bin Hassan


bottom of page