• Arissa

Rakyat sudah letih dengan polemik politik, dapatan kajian terbaharu Ilham Centre

12 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Rakyat sudah letih dengan polemik politik negara yang tidak sudah-sudah meskipun dalam keadaan negara berdepan krisis kesihatan berperang dengan pandemik COVID-19.


Begitu secara amnya dapatan kajian terbaharu Ilham Centre yang dijalankan pada awal April tempoh hari, kata Pegawai Eksekutifnya, Hisomuddin Bakar.


Ia dapat dilihat dan dirasakan sendiri apabila episod sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak beberapa hari lalu tidak menjadi satu bualan hangat rakyat.


Tidak seperti ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 dan awal 2020 tempoh hari ketika berlaku pertukaran kerajaan.


“Ia beri gambaran bahawa sebenarnya di peringkat akar umbi rakyat jelata seakan sudah meluas jurang antara mereka dengan orang politik.


“Ini kerana dalam situasi berdepan masalah melibatkan ekonomi dan 'survival' mereka dalam kehidupan, tetapi orang politik masih lagi berpolemik dan membincangkan untuk mendapatkan kuasa,” ujarnya.


Kata Hisomuddin lagi, sentimen kejadian beberapa hari ini lebih menjurus kepada penantian bagaimana Istana Negara akan hadir dengan satu formula untuk menyelesaikan masalah rakyat terutamanya daripada Sidang Khas Raja-Raja Melayu yang bakal dilangsungkan pada 16 Jun nanti.


“Jadi kebergantungan itu sebenarnya sudah beralih kepada Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk rakyat mengadu nasib,” lanjutnya.


Maka situasi ini sepatutnya dipandang serius oleh setiap pemain politik di negara ini untuk kembali mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat dengan langkah yang lebih bijak.


Jika tidak, tegas Hisomuddin, mereka akan berdepan masalah besar menjelang waktu untuk mereka meraih sokongan para pengundi menghadapi PRU yang akan datang.



--Astro Awani