• newsatmy

Rancang, labur duit i-Sinar di jalan yang benar

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Melihat kepada situasi yang berlaku di seluruh negara akibat COVID-19, pelbagai pakej rangsangan berbentuk suntikan fiskal diperkenalkan kerajaan kepada rakyat bagi menampung kos sara hidup, membeli keperluan domestik termasuk memulihkan semula ekonomi.


Keputusan membenarkan pencarum mengeluarkan caruman 10 peratus daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedikit sebanyak melegakan terutama bagi mereka yang terjejas.


Walaupun begitu, kesedaran dan perancangan kewangan untuk menggunakannya bagi tujuan pelaburan atau simpanan perlu ditetapkan dengan jelas, kata Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff.


“Ruang untuk menyimpan masih perlu ada terutamanya ketika keadaan mencabar ini dan apabila kita kehilangan pekerjaan, duit yang disimpan ini boleh digunakan untuk menampung kos sara hidup bulan-bulan seterusnya.


“Sekiranya digunakan untuk melabur, kenal pasti dahulu selera risiko yang ingin ditanggung, sama ada kita bersedia untuk mengambil risiko (risk taker) atau cuba mengelakkan risiko (risk averse).


“Lebih baik kita belajar, melakukan pembacaan atau mendapatkan nasihat pakar sebelum melabur agar dapat mengawal risiko serta elak gunakan duit yang sepatutnya digunakan untuk perkara lebih penting,” katanya dalam temu bual program Agenda AWANI baru-baru ini.


Semakan juga boleh dilakukan terhadap mana-mana syarikat pelaburan terlibat sekiranya mempunyai lesen atau disenaraikan di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mengelakkan sebarang penipuan (scam).


Mengulas lanjut, ditanya berkaitan jenis pelaburan kurang berisiko serta kalis krisis, Ahmed Razman mengaitkan dengan pelaburan yang mampu memberikan pulangan melebihi kadar inflasi.


“Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan KWSP sebagai contoh memberikan dividen lebih tinggi daripada faedah yang boleh diberikan oleh kebanyakan simpanan tetap bank komersial.


“Pelaburan patuh syariah juga lebih selamat walaupun pulangan sedikit berbanding konvensial tetapi ia tidak melabur dalam mana-mana institusi kewangan melibatkan riba’, katanya.


Dalam pada itu, Ahmed Razman menambah, pencarum juga tidak perlu risau kerana KWSP melaburkan wang caruman dalam pelbagai bentuk pelaburan termasuk ekuiti, hartanah, infrastrukur dan sentiasa dalam kedudukan kukuh.


Ia dibuktikan melalui prestasi tahun lalu yang mencapai pendapatan pelaburan kasar setinggi RM60.98 bilion dan pulangan dividen lebih tinggi berbanding ASB.


“Kalau kita tiada masa untuk melabur, kekalkan sahaja caruman kita kerana telah terbukti diuruskan secara profesional selain pulangannya boleh digunakan pada masa genting. Bagi yang bercadang untuk tidak mengeluarkan caruman KWSP, boleh manfaatkan sebaiknya untuk jangka masa panjang nanti.


“Akaun dua pun menawarkan pelbagai kemudahan yang boleh digunakan seperti untuk menyambung yuran pelajaran, melunaskan bayaran perumahan dan kesihatan,” ujarnya lagi.


Setakat 4 Mac 202, pengeluaran i-Sinar sebanyak RM52.48 bilion telah diluluskan melibatkan 5.94 juta pemohon manakala sejumlah RM32.74 bilion telah dikreditkan. -Astro AWANI