top of page
  • newsatmy

Ravi Everest sasar tawan 14 gunung tertinggi di dunia dalam tempoh tiga tahun


KUALA LUMPUR,2 Ogos: Pendaki solo negara T. Ravichandran, 57, berhasrat menakluk 14 gunung tertinggi di dunia dalam tempoh tiga tahun selepas berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak kedua tertinggi dunia iaitu K2 di Pakistan baru-baru ini.

Ravichandran, yang juga dikenali sebagai Ravi Everest, ketika ditemu bual menerusi aplikasi Google Meet, berkata sasaran menakluki 14 gunung tertinggi di dunia itu dilihat mampu direalisasi berbekalkan pengalaman pendakian terdahulu.


"September ini kita ada beberapa gunung yang boleh didaki atas faktor cuaca baik iaitu gunung kelapan tertinggi di dunia (Gunung Manaslu) di Nepal serta Gunung Cho Oyu dan Shishapangma di China. Namun disebabkan limitasi COVID-19 di China, kita tidak boleh teruskan pendakian. Kita sudah tawan lapan gunung setakat ini. "Kita sasarkan ekspedisi pendakian tahun depan ialah pada bulan Mac di Gunung Annapurna I dan cuba kembali ke Pakistan untuk daki Gunung Broad Peek (K3) pada Julai. Kita sasar beberapa gunung dalam tempoh setahun untuk cuba capai misi ini," katanya pada sidang media maya dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Pakistan hari ini.

Beliau yang kelihatan sihat dan ceria dengan raut wajah penuh semangat berkata misi itu sekali gus dilihat mampu menjadi legasi pencapaian cemerlang Malaysia untuk muncul sebagai negara pertama di Asia Tenggara menakluki 14 puncak tertinggi di dunia.


Ravi Everest bersama lima lagi pendaki solo terhebat dunia dengan diiringi lima sherpa telah menawan puncak gunung setinggi 8,611 meter itu pada 10.50 pagi waktu tempatan pada 22 Julai lepas.


Berkongsi pengalaman menawan K2, beliau berkata cabaran sepanjang eskpedisi melalui 'Abruzzi Spur Route' adalah tiga kali ganda lebih berisiko berbanding pendakian Gunung Everest sesuai dengan gelarannya sebagai 'Savage Mountain.'


Beliau berkata persekitaran K2 yang berbatu granit dan kurang bersalji telah memaksa para pendaki menggunakan segala pengalaman dan ilmu berkaitan pendakian untuk mengharungi rintangan sepanjang ekspedisi.

"Ada batu kecil berterbangan selaju 200km/j dan situasi ini yang kita lalui semasa ekspedisi K2... Di sini terdapat beberapa kawasan tidak menerima sinaran matahari yang membentuk 'Blue Ice.' Ia memerlukan teknik pendakian alpine yang sangat rumit dan ilmu mendalam untuk melepasi cabaran K2," katanya.


Mengulas lanjut, Ravi Everest berkata beliau terpaksa meneruskan pendakian ke puncak dari khemah tiga sebelum turun dalam tempoh 24 jam berikutan cuaca yang sangat baik pada 22 Julai lepas.

"Terasa kerdil dan sukar diungkapkan bagaimana saya menangis, banyak soalan bermain di minda sama ada saya perlu putus asa semasa pendakian 24 jam itu. (Rehat selama) 72 hari itu memang tidak cukup tetapi dengan keadaan mental yang kuat, kita tidak putus asa.

"Saya berada di puncak K2 kira-kira 15 minit... saya rasa gembira dan sempat lakukan video bersama penaja. Ini antara pendakian terbaik pernah saya lakukan... ini bukan kejayaan individu, ini kejayaan semua yang buatkan saya positif dan cukup bertenaga," katanya.


Ditanya mengenai perancangannya dalam masa terdekat, Ravi Everest berkata beliau akan menyertai program ke Kutub Selatan iaitu Projek Antartika 2022 pada November ini.

"Kami akan bergerak menggunakan ski sejauh 1,030 kilometer yang mengambil masa kira-kira 60 hari dan seterusnya mendaki Gunung Vinson Massif di Antartika," katanya.


Beliau berkata misi itu juga melibatkan kajian mengenai pemanasan global di Antartika dan data yang diperoleh akan diberikan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membantu kajian universiti tersebut berkaitan impak pemanasan global menjadi lebih lengkap.

"Saya sebagai alumni UPM ingin bantu dalam memastikan data kajian mereka sangat tepat dan bertaraf antrabangsa. Saya dan UPM sudah laksanakan proses persetujuan, saya percaya impian kita selari dan boleh bekerjasama," katanya.


Pada sidang media sama, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad Deddy Faisal Ahmad Salleh mengucapkan tahniah dan berkata beliau bangga dengan pencapaian cemerlang Ravi Everest mengharumkan nama negara selepas kejayaannya menakluki puncak kedua tertinggi di dunia itu.

-- BERNAMA

bottom of page