• newsatmy

Rayuan Najib: Pelaburan SRC International seperti satu penipuan - Sithambaram

15 April 2021

PUTRAJAYA: Hampir kesemua RM4 bilion yang dilaburkan SRC International ke dalam beberapa entiti tertentu, langsung tidak mendatangkan hasil, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.


Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berkata, atas kertas cadangan, ia kelihatan bagus, tentang usaha untuk meneroka sektor tenaga boleh diperbaharui.


Namun, tegasnya lagi, tiada apa-apa pulangan yang diterima daripada pecahan pelaburan kononnya dari SRC International – RM3.6 bilion untuk institusi kewangan di Switzerland, dan selebihnya dilaburkan industri batu arang di Mongolia, dan tenaga boleh diperbaharui di Indonesia.


“Kesemua pelaburan RM4 bilion ini adalah penipuan. Tiada apa yang berlaku dengan pelaburan itu. Dana keluar dan masuk, tetapi nampaknya tiada siapa tahu apa yang sebenarnya berlaku.


“Sekiranya mereka (pembelaan) berjaya menunjukkan pulangan, itu bukan pembelaan yang berkesan. Anda tidak boleh melaburkan sejumlah wang, dan masukkan RM42 juta daripadanya ke dalam akaun anda sendiri,” katanya lagi.


Sithambaram berkata demikian ketika membentangkan hujah balas di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil. Dua lagi hakim ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, dan Datuk Has Zanah Mehat.


Sewaktu disoal pihak pendakwaan sebelum ini, Najib memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pencapaian terbesar SRC International adalah meletakkan RM3.6 bilion di BSI Limited Bank di Lugano, Switzerland.


Ahli Parlimen Pekan itu berkata, wang itu khusus untuk pelaburan dalam sumber tenaga semula jadi, dan penyimpanan di bank berkenaan adalah untuk tujuan transit.


Bagaimanapun, dana itu telah dibekukan Kerajaan Switzerland selepas mendapati ia mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.


Sementara itu, baki daripada keseluruhan dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) telah dilaburkan untuk industri arang batu di Mongolia, dan industri tenaga boleh diperbaharui di Indonesia.


Dalam pada itu Sithambaram berkata, bukti jelas menunjukkan perayu (Najib) bertanggungjawab penuh bagi membolehkan SRC International mendapat Jaminan Kerajaan (GG) untuk dana RM4 bilion (KWAP) berkenaan.


Beliau berkata, bukti keterangan menunjukkan ahli-ahli panel KWAP bersetuju mereka tidak akan membenarkan pinjaman RM4 bilion itu kepada SRC International jika tiada Jaminan Kerajaan disediakan.


“Kita perlu ingat SRC International merupakan sebuah syarikat baharu, dengan modal berbayar RM1 juta, tiada rekod prestasi, tiada keuntungan jelas dari aktiviti perniagaan sebelum ini, dan tiada jaminan ke atas pinjaman RM4 bilion itu.


“Satu-satunya jaminan yang KWAP ada (dalam meluluskan pinjaman itu) ialah Jaminan Kerajaan, dan sudah jelas tiada penjamin yang lebih selamat berbanding Kerajaan Malaysia,”katanya lagi.


Sebagai rumusan, kata Sithambaram lagi, kesemua bukti yang diperoleh sepanjang perbicaraan, jelas menunjukkan rangkaian beberapa kejadian, dan akhirnya membentuk naratif untuk satu transaksi ke akaun peribadi.


“Tindakan dan keputusan Perayu berhubung SRC adalah untuk kepentingan peribadi beliau. Perayu terlibat dalam semua peringkat SRC - penubuhannya, permohonan pinjaman, jaminan kerajaan, pengagihan dana, kawalan ke atas kewangan syarikat, sehinggalah bagaimana dana masuk ke akaun peribadinya,” hujah Sithambaram lagi .


Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.


Beliau kini dalam cubaan pertama untuk mengenepikan hukuman yang disabitkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu.


-Astro AWANI