top of page
  • newsatmy

Revolusi Melayu


Naratif ‘Melayu malas’ yang dibangkitkan sejak sekian lama dahulu telah kembali dihangatkan. Antara kelemahan orang Melayu yang sering diperkatakan adalah sikap malas, cara kebergantungan hidup, kurang ilmu pengetahuan, sehinggalah ke episod perpecahan di kalangan mereka.


Kita harus melihat daripada konteks sejarah dan tidak perlulah diusulkan dengan keadaan politik semasa. Ini kerana khuatir akan mewujudkan lagi masalah yang boleh mengelirukan keadaan yang ingin dipastikan.


Kesanggupan untuk mengejar matlamat yang lebih tinggi serta terus naik ke tahap tertinggi adalah elemen yang terpenting dalam menentukan nasib masa depan sesuatu bangsa.


Meskipun orang Melayu diberikan perlindungan dan hak yang istimewa dalam perlembagaan negara, akan tetapi keadaan orang Melayu tidak banyak berubah. Kebanyakan orang Melayu masih lagi miskin dari segi kewangan dan pemilikan harta.


Harus diingatkan, dalam sistem demokrasi yang mementingkan kuasa undi dan suara manusia, apa apa yang tertulis dalam perlembagaan negara dapat saja diubah mengikut pengaruh dan kuasa majoriti. Keistimewaan boleh berubah menjadi malapetaka jika tidak dijaga dengan sempurna.


Jika ditelusuri di kalangan mereka yang berjaya, ramai sebenarnya yang bermula dari bawah. Namun, mereka berjaya kerana dapat menjadikan pengalaman kesusahan sebagai pendorong untuk bangkit dan mencipta kejayaan.


Kita sebagai masyarakat Melayu seharusnya belajar menerima lebih banyak perubahan agar kita juga dapat membuktikan bahawa kita sebagai sebuah bangsa yang mampu berdaya saing serta boleh menyumbang kepada perkembangan negara.


Dengan berbekalkan cara pemikiran yang baharu, tidak mustahil bangsa Melayu juga mampu untuk maju kehadapan biarpun dengan pelbagai cabaran yang mendatang.


Orang melayu harus sedar dan berusaha lebih kuat bagi menjamin masa depan.


Antara keperluan untuk pemulihan bangsa Melayu kita adalah revolusi. Revolusi yang dimaksudkan adalah perubahan mendadak yang dimana perubahan dibuat adalah untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.


Di samping itu, kemajuan dalam sistem pendidikan juga akan dapat membantu bangsa Melayu membebaskan diri daripada belenggu sistem politik, ekonomi dan sosial.


Kini sudah ramai usahawan Melayu di kalangan orang muda yang lahir menjalankan pelbagai perniagaan besar bahkan ada yang sudah menjadi jutawan, akan tetapi bilangannya tidak menyeluruh.


Malahan, kejayaan segelintir mereka ini tidak boleh dianggap sebagai mewakili kejayaan orang Melayu secara keseluruhannya.


Di kala jutaan ‘melayu tidak terpilih’ masih mengalami penurunan taraf hidup disebabkan sama ada kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan, sebahagian kelompok ‘melayu terpilih’ pula sedang selesa menikmati peningkatan nilai kekayaan peribadi.


Ketidakadilan dalam sistem ekonomi yang cacat ini telah lama dimanipulasi oleh golongan ‘melayu terpilih’. Kekayaan mereka meningkat biarpun ketika era pandemik berpunca daripada kegagalan sistemik, baik secara polisi dan undang-undang.


Pada pengamatan saya, ‘melayu terpilih’ yang memiliki taraf hidup yang baik wajarlah membantu ‘melayu tidak terpilih’ yang kurang bernasib baik.


Orang Melayu janganlah terlalu memilih pekerjaan. Rebutlah segala peluang dan pekerjaan yang ada untuk menimba ilmu dan pengalaman serta menutup ruang yang telah banyak diisi oleh pendatang atau pekerja asing.


Tidak ada budaya yang menggalakkan bangsanya menjadi mundur. Jika kita mengkaji kejayaan bangsa lain, kita akan mengetahui bahawa mereka sebenarnya maju berdasarkan budaya dan nilai mereka.


Jika keadaan ini tidak diberi perhatian, maka matlamat penyusunan semula masyarakat Melayu tidak akan berjaya dilaksanakan.


Pepatah Melayu mengatakan, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.


Kita perlu menanam iltizam bagi anak cucu kita untuk terus mencapai kecemerlangan jika tidak mahu terus kecundang dan ketinggalan daripada bangsa lain.


Semangat sedemikian telah dipupuk dan diterima oleh generasi awal merdeka dalam usaha mereka membentuk bangsa melayu.


Kejayaan untuk memartabatkan bangsa kita sebenarnya bergantung kepada kita sendiri melalui kesediaan dalam memberi dan menerima perubahan.


Hal ini disebabkan terdapat banyak juga bukti bahawa orang Melayu telah banyak berubah dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


Banyak pelajaran yang baik dan buruk dapat dipelajari daripada sejarah bangsa Melayu.


Kesedaran keatas sejarah itu sangat penting agar sejarah buruk dapat dielakkan, dan sebaliknya mana-mana yang baik dan gemilang boleh diulang.



MAHATHIR MOHD RAIS adalah Ketua Bahagian BERSATU Segambut

bottom of page