- newsatmy
Rihana Petra Kongsi Pahit Getir Besarkan Leon Seorang Diri
13 Disember 2021

Bekas ratu cantik Rusia, Rihana Petra atau nama sebenar beliau, Oksana Andreevna Voevedina ada berkongsikan kisah susah payah hidupnya menerusi beberapa hantaran di Instagram pada beberapa hari lalu.
Jelas wanita berusia 29 tahun ini, dia kini menetap di London dan mahu membesarkan anaknya, Leon di sini. Rihana turut berkongsikan kisah perjalanan hidupnya yang sering berpindah-randah semenjak berusia 17 tahun lagi.
“Saya mula berpindah ke Moscow pada usia 17 tahun, ketika saya masuk ke universiti. Kemudian pada 24 tahun saya pindah ke Malaysia. Sekarang selepas 5 tahun, saya kemas bagasi lagi, bawa Leon dan mulakan hidup baru”, tulis Rihana.
Menurut Rihana, dia mahu memberikan fokus yang sepenuhnya kepada Leon.
Dia turut berjanji akan melakukan apa sahaja untuk masa depan Leon, kerana menurut Rihana, tiada siapa yang akan melakukannya selain dirinya sendiri.
“Memandangkan saya melahirkan dia seorang diri, dan membesarkan dia seorang diri, semuanya perlu dilakukan untuk masa depan (Leon), kerana tiada siapa yang akan buat selain saya”, ujar Rihana.
Malah untuk memulakan hidup baru, Rihana berkata dia tidak takutkan perubahan, kerana dia percaya semuanya akan berlangsung dengan baik dan mudah untuk dirinya dan Leon.
“Di Moscow, saya tinggalkan segalanya, keluarga, kawan-kawan, apartment, kereta, cagaran. Terdapat isu perniagaan yang saya uruskan dari jauh”
“Segalanya baru di London, tapi saya tak pernah takut pada perubahan dan kemungkinan sebab itu banyak cabaran berlaku dalam hidup saya sama ada baik atau buruk”, tulis Rihana.
Dalam satu hantaran lain di Instagram, Rihana turut ada berkongsikan perkembangan semasa Leon yang kini sudah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris.