top of page
  • newsatmy

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini

29 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Urus niaga ringgit agak rendah berbanding dolar AS ketika dibuka pada pagi Isnin kerana kekurangan permintaan untuk unit tempatan.


Sementara itu, dolar AS terus menarik minat para pelabur, didorong oleh keyakinan terhadap pemulihan ekonomi AS, kata seorang peniaga.


Pada pukul 9 pagi, unit tempatan disebut harga rendah berbanding dolar AS pada 4.1460/1500 daripada 4.1445/1485 ketika ditutup pada petang urus niaga Jumaat minggu lepas.


Presiden AS Joe Biden dijangka mengumumkan butiran selanjutnya mengenai rancangan perbelanjaan infrastruktur beliau pada Rabu manakala angka penggajian pada Jumaat diunjur meningkat 630,000 ataupun lebih.


Beberapa ahli ekonomi Amerika pula meramalkan ekonomi global akan berkembang pada sekitar 6.4 peratus tahun ini, didorong oleh rangsangan fiskal AS berikutan limpahan positif daripada sebahagian negara di dunia.


Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes percaya unit tempatan akan diniagakan sejajar dengan sentimen dolar AS yang meluas hari ini, terutama menjelang pengumuman data utama minggu ini oleh China dan AS.


Innes juga percaya ringgit mampu meningkat tinggi berbanding dolar AS tahun ini.


“Saya rasa ringgit boleh bergerak lebih kukuh, dirangsang oleh harga minyak yang tinggi serta saluran komoditi yang lain. Bagaimanapun, saya agak negatif terhadap sektor pengembaraan dan trend pembukaan semula yang lain kerana saya berpendapat kerajaan agak perlahan untuk membuka semula sempadan tanpa sekatan kuarantin yang ketat sehingga akhir tahun.


“Saya amat optimistik pada Januari tetapi sekarang, saya tarik balik pandangan saya kepada 4.05 berbanding 3. 85 menjelang akhir tahun,” kata beliau.


Dalam kenyataan berasingan, Kenanga Research turut mengunjur ringgit diniagakan agak tinggi minggu ini, didorong oleh harga minyak mentah yang berpotensi untuk naik berikutan kebimbangan terhadap halangan di Terusan Suez yang boleh menjejaskan bekalan minyak dari Timur Tengah ke Eropah dan AS.


“Namun begitu, trend peningkatan akan dihadkan oleh ancaman yang kian meningkat daripada kemunculan semula kes COVID-19,” kata firma itu menerusi nota catatannya.


Pada ketika ini, harga minyak mentah susut 0.12 peratus kepada US$64.49 setong.


Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali dolar Singapura dengan ringgit jatuh kepada 3.0784/0821 daripada 3.0778/0814 Jumaat lepas.


Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen kepada 3.7797/7837 daripada 3.7853/7900 pada Jumaat, tinggi berbanding euro kepada 4.8832/8895 daripada 4.8872/8927 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7099/7158 daripada 5.7153/7224.



-- BERNAMA


bottom of page