• newsatmy

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

18 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini berikutan dolar US diniagakan lebih lemah susulan data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang kurang memberangsangkan pada minggu lepas.


Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1250/1290 berbanding unit negara maju itu daripada 4.1290/1325 pada penutupan Isnin.


Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ketika kelemahan dolar AS masih terlalu banyak konsensus, kebimbangan terhadap kes COVID-19 terus mempengaruhi dagangan tukaran asing Asia.


"Pandemik dan isu-isu berkaitan telah mengubah unit tempatan secara negatif yang mana peningkatan mendadak kes telah menyebabkan kerajaan untuk mengenakan semula sekatan pergerakan atau kembali melaksanakan langkah pergerakan yang lebih terhad," katanya kepada Bernama.


Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.


Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0913/0945 daripada 3.0915/0953 sewaktu ditutup Isnin dan mengukuh berbanding yen kepada 3.7768/7808 daripada 3.7808/7847.


Bagaimanapun, unit tempatan rendah berbanding pound Britain kepada 5.8365/8438 daripada 5.8223/8289 dan jatuh berbanding euro kepada 5.0144/0196 daripada 5.0184/0235.


-- BERNAMA