• newsatmy

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal

21 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada urus niaga pagi Jumaat, dirangsang oleh peningkatan dalam harga minyak mentah.


Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1390/1420 berbanding dolar AS daripada 4.1445/1475 ketika ditutup pada urus niaga hari sebelumnya.


Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent mengukuh 0.37 peratus kepada US$65.35 satu tong.


Menurut pedagang ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz, pasaran menanti laporan berkenaan Jualan Rumah Sedia Ada Amerika Syarikat dijangka lewat hari ini yang merupakan petunjuk kukuh kepada kesejahteraan ekonomi secara keseluruhan.


"Data yang lebih tinggi daripada jangkaan baik untuk dolar dan boleh menjadi pencetus kepada peningkatan seterusnya berbanding ringgit dalam beberapa minggu akan datang," jelas beliau.


Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.


Unit tempatan lega berbanding dolar Singapura kepada 3.1099/1124 daripada 3.1080/1107 semalam, rendah sedikit berbanding pound Britain kepada 5.8699/8746 daripada 5.8520/8579 sebelumnya.


Mata wang tempatan itu menyusut berbanding euro kepada 5.0637/0677 daripada 5.0505/0550 semalam dan naik sedikit berbanding yen kepada 3.8028/8063 daripada 3.8030/8068 pada penutupan urus niaga petang Khamis.


-- BERNAMA