• newsatmy

Ringgit meningkat kepada 4.08 berbanding dolar AS

2 May 2021

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan kekukuhan harga minyak mentah serta keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini, kata seorang penganalisis.


Pada 6 petang, unit tempatan melonjak 130 mata asas untuk ditutup kepada 4.0870/0930 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1000/1050 pada Rabu.


Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum Nuzul Quran.


Bank Pembangunan Asia (ADB) baru-baru ini menyatakan keluaran dalam negara kasar Malaysia dijangka melantun semula kepada enam peratus pada 2021 dan stabil pada kira-kira 5.7 peratus pada 2022, disokong oleh pelaksanaan program vaksin COVID-19 dan dasar fiskal dan monetari yang akomodatif.


"Peningkatan permintaan perdagangan global dijangka mendorong peningkatan pelaburan tempatan dan asing apabila perbelanjaan modal dan pengguna mula pulih secara perlahan-lahan," kata seorang penganalisis kepada Bernama, sambil menambah dasar monetari yang akomodotif sepatutnya juga menyokong permintaan.


Bagaimanapun, katanya, ringgit disokong oleh harga minyak yang kukuh di mana penanda aras minyak mentah Brent ketika ini didagangkan sekitar US$67 setong.


Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.


Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0785/0839 daripada 3.0911/0955 pada Rabu dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7520/7581 daripada 3.7646/7695.


Ringgit melonjak berbanding euro kepada 4.9428/9509 daripada 4.9467/9539 sebelumnya dan menokok berbanding pound British kepada 5.6834/6930 daripada 5.6941/7018.


-- BERNAMA