top of page
  • newsatmy

Ringgit tinggi berbanding dolar AS, kebimbangan mengenai Omicron reda tingkatkan minat risiko

24 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran meningkat ketika dibuka pada Jumaat memandangkan kebimbangan terhadap Omicron yang telah reda membantu melonjakkan minat risiko pelabur.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1960/2010 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1980/2020 ketika ditutup pada Khamis.


Data menunjukkan Omicron mempunyai risiko kemasukan ke hospital yang rendah manakala pesakitnya juga mengalami gejala yang lebih ringan. Peniaga berkata sentimen yang semakin baik itu dijangka memberikan sokongan untuk ringgit berlegar pada paras semasa.

Di peringkat domestik, semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kadar penerimaan dos penggalak vaksin COVID-19 adalah baik, namun majoriti memilih untuk mengambil dos penggalak daripada jenis yang sama (homologous) dengan dos primer.


Sementara itu, ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding dengan kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.6235/6302 daripada 5.6257/6311 ketika ditutup pada Khamis dan tinggi berbanding euro kepada 4.7516/7572 daripada 4.7521/7567.


Ringgit kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6672/6719 daripada 3.6721/6760 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0905/0951 daripada 3.0874/0908 semalam.



-- BERNAMA

bottom of page