top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

RISEN ENERGY pilih Malaysia untuk melabur RM42.2 bilion dalam industri fotovoltaik

24 Jun 2021

Pagi ini, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan mesyuarat secara maya bersama Pengerusi dan Presiden Syarikat Risen Energy Co. Ltd, Encik Xie Jian, sebuah syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan solar module.


Mesyuarat ini turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), YBrs Encik Arham Abdul Rahman.


Berpengkalan di Republik Rakyat China, syarikat ini melalui Risen Solar Technology Sdn. Bhd. telah diluluskan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti rekabentuk, pembangunan dan pengilangan solar cells dan solar modules di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM42.2 bilion.


Pelaburan untuk tempoh 15 tahun dari 2021 hingga 2035 ini dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia selain syarikat itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti/ institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship.


"Saya yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar. Ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia,


"Saya turut berkongsi dengan Encik Xie Jian bahawa Kerajaan Malaysia mengamalkan prinsip mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini dengan pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur dan menegaskan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat tersebut berjalan dengan lancar," ujar beliau.


Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekaligus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.


Trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.


Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan.




--PN Online

bottom of page