top of page
  • newsatmy

Rm14.1b pelaburan dari eropah-MITI

23 Oktober-KUALA LUMPUR

MISI Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Eropah dari 13 hingga 21 Oktober lalu, yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membuahkan hasil menggalakkan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pelabur Eropah memberi komitmen yang kukuh untuk melabur sejumlah RM14.1 bilion di Malaysia.

Katanya, potensi pelaburan langsung asing (FDI) dari Jerman sebanyak RM10.7 bilion, manakala potensi FDI dari Perancis dan United Kingdom, masing-masing sebanyak RM2.6 bilion dan RM800 juta.

“Pada masa sama, nilai eksport produk Malaysia bernilai RM400 juta dengan masing-masing RM50 juta ke Jerman, RM300 juta ke Perancis dan RM50 juta ke United Kingdom, dijangka direalisasikan pada tahun-tahun akan datang,” menurut MITI.

Katanya, usaha transformasi ekonomi Malaysia terutamanya dalam memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) diterima baik oleh komuniti perniagaan Eropah.

“Pengiktirafan terhadap penekanan baharu Malaysia mengenai agenda kemampanan yang dilihat sepanjang misi ini mengesahkan keyakinan berterusan pelabur dan pengimport Eropah terhadap Malaysia.

“Malaysia sebagai destinasi perniagaan pilihan dan pintu masuk strategik kepada perniagaan Eropah untuk meneroka lebih jauh ke rantau Asia Tenggara dan pasaran Asia Pasifik yang lebih besar,” kata MITI.

Sepanjang TIM, Mohamed Azmin berkongsi mengenai visi Malaysia dalam agenda mampan, terutamanya sasaran untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau karbon sifar bersih paling awal menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Berdasarkan pelbagai peluang dalam teknologi hijau Malaysia dan sektor mobiliti hijau serta dalam industri lain yang bernilai tinggi, perniagaan dan pelabur Eropah berharap dapat meningkatkan penyertaan dalam bidang penting itu yang menjadi antara tumpuan utama dalam aspirasi pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Dalam pertemuan dengan delegasi United Kingdom, MITI turut mengenal pasti peluang kerjasama dalam bidang Industri 4.0, tenaga boleh baharu dan kemampanan.

“Selain itu, memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk mengembangkan lagi kedudukan mereka di rantau ini,” kata kementerian itu. – Bernama

bottom of page