top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

RM150 juta untuk PIKAS

30 Jun 2021

Dua hari lepas, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang memfokuskan kepada 3 agenda utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.


Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun melancarkan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mengutamakan pekerja di sektor pembuatan perlu.


Tujuan PIKAS adalah untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja di premis perniagaan di samping membantu kerajaan meningkatkan capaian imuniti kelompok.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Azmin Ali berkata, beliau maklum setakat 27 Jun seramai 669,846 pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara telah berdaftar di bawah PIKAS.


"Terima kasih atas kerjasama itu, namun, saya yakin masih ada beberapa syarikat yang belum menyertai atau mendaftar menerima suntikan vaksin di bawah program itu," ujar beliau di laman Facebooknya.


Oleh itu, sebagai galakan kepada majikan/syarikat yang belum menyertai PIKAS, kerajaan bersetuju untuk membekalkan sejumlah RM150 JUTA selain mengurangkan tanggungan syarikat.


Bantuan itu juga bagi memantapkan lagi pengurusan PIKAS yang sedia ada.


Bagi majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10% bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19.


Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh majikan.


Potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.


Ada sesetengah yang tertanya-tanya bagi pekerja yang sudah lengkap dua dos vaksin, apa yang akan berlaku?


"Alhamdulillah, mengambil kira perkara itu, kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan syarikat beroperasi pada kapasiti penuh,


"Ini juga bagi menjamin kelangsungan ekonomi syarikat dan juga ekonomi negara,


"Saya menyambut baik pengumuman itu dan berharap bantuan serta kerjasama ini akan membolehkan usaha MITI untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan pekerja sektor pembuatan selewat-lewatnya September ini tercapai," tambah beliau lagi.




--PN Online



bottom of page