• newsatmy

RM420.8 juta pembiayaan mikro kredit disalur menerusi PENJANA - Tengku Zafrul

15 April 2021

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM420.8 juta telah disalurkan menerusi Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi manfaat sebanyak 12,651 perusahaan kecil sederhana (PKS) mikro, setakat 2 April, 2021.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini termasuk pemohon daripada bidang peruncitan dan perkhidmatan.


Menurutnya, bagi tempoh sama, permohonan dana pinjaman mudah PKS yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima adalah sebanyak RM11.87 bilion yang memberi manfaat kepada 25,289 kelompok tersebut.


Selain itu, Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA telah meluluskan 315 permohonan daripada keseluruhan 636 permohonan dengan nilai pembiayaan RM62.9 juta setakat 2 April, 2021, berbanding 308 kelulusan daripada 626 permohonan dengan pembiayaan bernilai RM61.9 juta pada minggu sebelumnya, kata beliau.


"Kerajaan sedar bahawa rekod permohonan untuk dana ini tidak berapa menggalakkan pada masa ini berikutan keadaan industri pelancongan yang masih belum pulih sepenuhnya.


"Menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, adalah diharapkan bahawa imuniti kelompok yang disasarkan mampu dicapai seawal Disember 2021 dan seterusnya menjadi pemangkin bagi pemulihan ekonomi, khususnya industri pelancongan negara," katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-49, pada Rabu.


Menurut Tengku Zafrul, setakat 2 April, 2021, dana Bumiputera Relief Financing (BRF) telah disalurkan kepada seramai 749 PKS yang berjumlah RM226.8 juta.


Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan bantuan sokongan Penggunaan Teknikal dan Digital untuk PKS dan Syarikat di Peringkat Pertengahan (MTC) dengan sejumlah RM59.3 juta disalurkan kepada 13,857 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.


-- BERNAMA