• newsatmy

Rosmah pilih beri keterangan dari kandang saksi


18 Febuari 2021


KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi selepas diperintah untuk membela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, terhadap tiga pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, 2016 lalu.


Rosmah, 70, membuat pilihan itu selepas diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan, kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan atau ketiga memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.


Sementara itu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata, seramai lima atau enam saksi pembelaan termasuk Rosmah dan Najib, akan dipanggil untuk kes tersebut.


“Ia tidak termasuk 10 saksi yang ditawarkan oleh pasukan pendakwaan,” katanya.


Sebelum ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan Rosmah untuk membela diri daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.


Ketika membaca keputusan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, mahkamah telah memberi penilaian secara maksimum mengenai perkara tersebut.


“Pendakwaan juga menambah bukti keterangan yang boleh dipercayai untuk membuktikan elemen di bawah pertuduhan,” katanya.


Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bagi kes ini berlangsung selama sembilan hari bermula 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun, ia kemudian disambung pada 12, 15 Julai 2021.


Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.


Rosmah, 70, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.


-SinarHarian

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.