• newsatmy

Rudiger mohon maaf cederakan De Bruyne menjelang Euro 2020

31 Mei 2021

ANTONIO Rudiger terkejut dengan akibat daripada rempuhannya ke atas Kevin De Bruyne dalam final Liga Juara-Juara Eropah awal pagi semalam apabila perancang Belgium itu disahkan patah tulang hidung dan retak soket mata.


Pertahanan Chelsea, Rudiger, berkata dia benar-benar menyesal dengan padah daripada pertembungan itu, yang menyaksikan dia dilayangkan kad kuning dan perancang Manchester City berkenaan terpaksa dikeluarkan.


Pertahanan tengah Jerman itu berkata dia masih berhubung dengan De Bruyne selepas perlawanan itu, yang dimenangi Chelsea 1-0 untuk bergelar juara Eropah buat kali kedua.


De Bruyne menonton perlawanan itu dari bangku pemain buat seketika sebelum diambil untuk menjalani pemeriksaan sama ada kecederaan itu akan membataskannya untuk beraksi dalam Euro 2020 atau tidak.


Dia mungkin boleh bermain dengan memakai pelindung muka.


Rudiger menulis dalam satu ciapan Twitter: "Saya benar-benar memohon maaf atas kecederaan @DeBruyneKev. Sudah pasti saya tidak berniat untuk melakukannya -- saya telah berhubung dengan Kevin secara peribadi dan saya benar-benar mendoakan agar dia cepat sembuh dan berharap kami dapat bertemu kembali di atas padang tidak lama lagi."


Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, memberitahu CBS Sports bahawa Rudiger sepatutnya dibuang padang.


"Bagi saya, Rudiger amat-amat bernasib baik. Apabila anda melihat ulang tayang, tiada pertembungan kepala. Dia menghulurkan bahunya ke arah Kevin.


"Bagi saya, ia amat keras dan gegabah. Dan ia sepatutnya diakhiri dengan kad merah. Ia membuatkan saya berasa amat sedih (buat De Bruyne)," katanya.


Belgium, pasukan yang kini berada di ranking nombor satu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), akan memulakan kempen Euro 2020 dengan menentang Russia di St Petersburg pada 12 Jun ini sebelum mencongak perhitungan dengan Denmark Dan Finland.


-Astro Awani