- newsatmy
Saham Kelab Liga Super Eropah hangus
22 April 2021
LONDON: Pemilik-pemilik enam kelab gergasi Liga Perdana Inggeris masing-masing kerugian 8 juta pound (RM45.5 juta) selepas Liga Super Eropah berkubur - dan turut berdepan denda.
Kejohanan kontroversi itu diumumkan Ahad lalu, dengan 12 gergasi bola sepak Eropah menyertainya - sebelum ia berkubur pada pagi Rabu.
Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham menyertai Atletico Madrid, Barcelona, Real Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus dalam kejohanan pertengahan minggu itu.
Setiap kelab membeli saham 8 juta pound dalam Liga Super Eropah - yang akan digunakan untuk membantu rundingan perjanjian penyiaran, kontrak komersial dan yuran guaman.
Laporan mendakwa kontrak ditandatangani 12 kelab itu sepatutnya akan diteruskan walaupun berdepan cabaran sukar.
Bagaimanapun kesemua 12 kelab - termasuk enam gergasi Liga Perdana Inggeris - mungkin tidak akan mendapat kembali bayaran pendahuluan mereka selain bakal didenda dengan jumlah yang tinggi. Selepas mendapat kecaman hebat, Chelsea menarik diri, diikuti City dan baki empat kelab lagi.
Atletico Madrid dan Inter Milan juga secara rasmi menarik diri, dengan AC Milan dan Barcelona bakal menyusul, meninggalkan hanya Real Madrid dan Juventus.
Pengerusi Juve Andrea Agnelli, yang juga antara orang kuat Liga Super Eropah, mengakui kejohanan itu kini berkubur selepas hampir semua kelab menarik diri.
"Secara jujurnya, ia tidak akan diteruskan. Bagaimanapun saya masih percaya projek itu amat menarik," kata Agnelli.
-Astro Awani
Comments