• newsatmy

Saman Peniaga Burger RM50,000, Syed Saddiq Tegur Tindakan Penguatkuasa

27 April 2021

Semalam, tular di media sosial mengenai isu seorang peniaga burger yang meluahkan kekesalannya apabila mendakwa telah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 oleh pihak polis.


Wan Mohamad Faisal bin Wan Kadir, 38, yang menjalankan perniagaan tersebut di depan tangga rumahnya dekat Kampung Rambutan Rendang, memberitahu yang dia didatangi oleh beberapa anggota polis ketika sedang siapkan beberapa tempahan pelanggan sekitar jam 11.10 malam.


Polis kemudian telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM50,000 bagi kesalahan meniaga melebihi had masa dalam PKP.

"Ketika itu tiada seorang pelanggan di kedai dan saya sedang menyiapkan tempahan daripada pekerja kilang.


“Memang saya belum menutup kedai namun meja sudah disimpan. Saya hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pekerja kilang.


“Saya agak terkejut apabila dikenakan kompaun setinggi itu hanya untuk kesalahan ini. Sudahlah musim PKP, berniaga pun bukannya laris sebagaimana seperti sebelum ini,” katanya.


Peniaga ini juga menjelaskan bahawa kompaun tersebut dikenakan kerana kes berulang.


Sebelum ini juga dia pernah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan sama.


Perkara yang menimpa peniaga burger tersebut telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Syaddiq Syed Abdul Rahman di Twitter yang berpendapat nilai kompaun tersebut agak keterlaluan bagi seorang peniaga burger untuk membayarnya.


Malah tambahnya lagi, pihak polis sepatutnya menggunakan budi bicara atau menegur kesalahan peniaga itu terlebih dahulu jika mereka melakukan kesalahan.

Posting tersebut telah mendapat sokongan netizen lain juga yang bersetuju dengan pendapat Syed Saddiq bahawa nilai kompaun tersebut agak besar dan tidak wajar dikenakan terhadap peniaga burger berkenaan.


Walau bagaimanapun, polis dalam satu kenyataan ada menjelaskan bahawa kompaun itu dikenakan kepada kedai yang berniaga lebih masa atau membuka meja untuk pelanggan atau tidak menyediakan penyukat suhu.


Nilai RM50,000 tersebut memang jumlah maksimum kompaun yang akan ditulis pada kertas saman.


“Bagi kesalahan individu akan ditulis jumlah maksimum RM10,000. Bagaimanapun, peniaga berkenaan boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


"Itu cuma dinyatakan jumlah maksimum,” kata Asisten Komisoner Abdul Rahim Daud yang mengesahkan kejadian tersebut.