top of page
  • admin

Saman takkan kendurkan tekad perjuangan Sanusi

4 April

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nekad untuk tidak mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri itu terjebak menjadi kaki judi.


Melalui status terbaharu dimuat naik di laman Facebook rasminya tengah malam tadi, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak akan sesekali membiarkan perkara itu terjadi.

Menurutnya sebagai ahli dan pimpinan Pas, beliau serius dengan usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah.


“Sebaik mengambil alih kerajaan sejak 17 Mei 2020, maka satu langkah besar dibuat mulai 2021 hingga 2022 untuk memberhentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh Kedah secara beransur-ansur.


“Mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan Pas menghentikan kegiatan yang merosakkan seluruh masyarakat negeri ini.


“Namun jika didapati terdapat premis judi tanpa lesen wujud di mana-mana lokasi dalam Kedah, polis serta pihak berkuasa tempatan telah dan akan melaksanakan operasi membanteras perjudian, selari dengan peruntukan undang-undang. Inilah yang dimaksudkan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi.


“‘We walk the talk (Laksanakan apa yang yang dikata,” katanya. ,” katanya.


Status tersebut dimuat naik Muhammad Sanusi setelah beliau diperintah membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar oleh Mahkamah Rayuan semalam.


Terdahulu pada November 2021, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin, membenarkan saman fitnah Mahfuz dan mengarahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz.


Mahfuz memfailkan saman itu pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.


Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019, memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.


Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, apabila sudah didapati bersalah maka menjadi tanggungjawabnya unuk melunaskan tuntutan pihak terbabit.


“Saya akan bersuaha membayar berapa pun harganya namun mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidaklah sekali-kali,” katanya.

bottom of page