top of page
  • Writer's pictureNihaba

Sapura Energy catat rugi bersih RM669.34 juta pada suku ketiga

14 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd mencatat kerugian bersih RM669.34 juta pada suku ketiga (S3) berakhir 31 Oktober 2021 berbanding keuntungan bersih RM17.21 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Hasil, bagaimanapun, meningkat kepada RM1.45 bilion daripada RM1.33 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh hasil lebih tinggi daripada segmen perniagaan penggerudian, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Sapura Energy berkata kos yang berkaitan dengan pandemik terus menanggung beban yang besar terhadap pendapatan kumpulan itu. "Kos langsung daripada COVID-19 meningkat kepada RM131 juta pada suku semasa, menyumbang lebih separuh daripada RM242 juta yang dibelanjakan untuk pandemik itu pada tahun fiskal sehingga kini.

"Kumpulan menanggung RM286 juta kos langsung COVID-19 termasuk perbelanjaan siap sedia kapal, kos ujian dan kuarantin untuk anak kapal dan pekerja bagi tahun kewangan 2021 (TK2021), menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM528 juta sejak permulaan pandemik itu," katanya.


Setakat ini, 90 peratus daripada tenaga kerjanya telah divaksin sepenuhnya, tambah penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu.

Memandangkan pandemik masih lagi tidak menentu, Sapura Energy menjangkakan masalah itu akan berterusan untuk baki tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Anuar Taib berkata kos tambahan, yang masih belum dibayar, telah memberi kesan buruk kepada aliran tunai dan kecairan kumpulan.

"Kami terus berhubung dengan pelanggan untuk mempercepatkan tuntutan dan penyelesaian komersial kami," katanya.

Sementara itu, perolehan nilai kontrak kumpulan itu kini berjumlah RM7.58 bilion, termasuk anugerah projek baharu bernilai RM1.76 bilion, manakala buku bidaan semasanya bernilai RM22 bilion.


Memfokuskan pada kemampanan jangka panjang, Pasukan Petugas Penstrukturan Semula Lembaga yang diumumkan sebelum ini merangka pelan tetapan semula yang bertujuan untuk mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan, meningkatkan kedudukan kecairannya, menyelaraskan model operasi dan menyediakan lebih fleksibiliti untuk pertumbuhan strategik, kata syarikat itu.

"Fokus kami adalah untuk kembali pulih dan mendapatkan semula kekuatan, justeru, kami sedang berusaha meletakkan Sapura Energy dengan berkesan bagi pemulihan yang dijangkakan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas tahun depan," kata Anuar.




-- BERNAMA

Comments


bottom of page