top of page
  • newsatmy

SAS bakal sediakan perkhidmatan pesawat laut ke Pulau Perhentian


SUBANG:,10 Sept Penyedia perkhidmatan sewa dan pajak, carter penerbangan dan pesawat, Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) bakal membina lapangan terbang kecil (aerodrome) air di Pulau Perhentian, Terengganu, yang akan menjadikannya 'lapangan terbang atas air' pertama di Malaysia.


Ini juga akan menjadikan SAS sebagai pengendali aerodrome air pertama di negara ini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya Ida Adora Asha'ari Ismail berkata rancangan itu adalah susulan daripada Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai antara SAS dan Oriental Sky Sdn Bhd (OSSB) untuk menjalin kerjasama dalam bidang penyenggaraan pesawat amfibia dan operasi penerbangan. "Daripada perjalanan selama 45 minit menaiki bot, anda mungkin hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit dari tanah besar untuk sampai ke pulau (menaiki pesawat laut).

"Pesawat akan mendarat di atas air dan perlu ada lapangan terbang tertentu untuknya, oleh itu kami ketika ini sedang membina satu di Pulau Perhentian," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Pameran Penerbangan Selangor 2022, di sini.


Ida Adora berkata syarikat itu berharap dapat mengembangkan perkhidmatan pesawat laut ini ke tiga hingga empat lagi pulau di Malaysia.

"Yang pertama dijangka bermula pertengahan tahun depan dan harapnya tahun berikutnya akan ada tambahan bagi setiap tahun selepasnya," katanya.


Ditanya mengenai potensi pengembangan ke pasaran luar negara, beliau berkata buat masa ini syarikat itu menumpu untuk mengembangkan habnya di Malaysia dengan beberapa aktiviti perniagaan dibuka kepada syarikat asing dalam bahagian pembaikan dan penyenggaraan.

SAS memiliki pelbagai kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) termasuk pengendali udara yang diperakui, organisasi penyenggaraan diluluskan (AMO) dan organisasi pengurusan layak terbang berterusan diluluskan.


Oriental Sky adalah anak syarikat milik penuh Ikhasas Group yang baru-baru ini membeli satu unit Cessna 208B Grand Caravan dalam konfigurasi amfibia.


Ini membolehkan pesawat itu berlepas dan mendarat daripada landasan dan laluan air termasuk dari kawasan laut di sekitar Malaysia.


Menerusi MoA itu, SAS dipertanggungjawabkan oleh OSSB untuk menjadi pengendali komersial yang akan menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan pesawat ini, buat permulaannya ke Pulau Perhentian di mana sebuah kompleks resort mewah sedang dibangunkan oleh Ikhasas Group.


Di bawah MoA itu juga, SAS, sebagai AMO yang diiktiraf oleh CAAM, akan menyediakan sokongan penyenggaraan bagi pelbagai jenis pesawat dan helikopter termasuk Cessna 208B Grand Caravan.


Ida Adora berkata kerjasama antara SAS dan OSSB sudah pastinya akan menjadi satu pencapaian penting dalam menjadikan Malaysia sebagai satu daripada kuasa penerbangan serantau, berkembang kepada penerbangan amfibia komersial dan menawarkan kaedah baharu untuk menikmati keindahan semula jadi negara.

-- BERNAMA

bottom of page