• Arissa

Saya masih dapat sokongan, peletakan jawatan tidak berbangkit – Muhyiddin

4 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.


Beliau berkata perkara berkenaan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis menghadap di Istana Negara, pagi ini.


“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya menerusi Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.


Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Muhyiddin berkata beliau juga sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan.


Sehubungan itu, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.


“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.


“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.


Perdana Menteri juga bersyukur kerana kesemua cadangan yang dikemukakan beliau telah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah.


Muhyiddin berkata jemaah menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.


Terdahulu, pada permulaan Perutusan Khas itu, Muhyiddin memohon maaf kepada rakyat di atas kemelut politik yang melanda di saat negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik COVID-19.


Disebabkan itu, beliau terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.



--PN Online