"Saya paranoid, jadi tak bawa anak-anak ke mana-mana ..." - Jamal Abdillah
14 Januari 2022
RAJA Pop, Datuk Jamal Abdillah akui seronok melayan kerenah dua anak kecilnya Nur Azura Yamani, 3, dan El Isaac Yamani yang kini berusia setahun di rumah.
Namun, memandangkan pandemik COVID-19 masih berada di tahap yang membimbangkan, Jamal sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak membawa mereka berjalan sewenangnya.
"Kehidupan saya seperti biasa, undangan persembahan masih lagi banyak, cuma kadang-kadang rasa keletihan melayan kerenah anak-anak kecil di di rumah, tapi tak mengapa, saya seronok.
"Sebagai seorang ayah, semestinya saya paranoid dengan penularan wabak COVID-19.
"Kita dah dewasa lain, anak-anak kecil memang saya bimbang, sampai sekarang pun saya tak bawa mereka ke mana-mana," katanya.
Jamal berkata demikian selepas menerima anugerah dan membuat persembahan di Malam Pengiktirafan Nona Superhero Award yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya pada Rabu.
Sebagai kesinambungan Nona Superwoman Award, acara itu mengiktiraf kecemerlangan dan prestasi lelaki ikonik menerusi 23 kategori anugerah daripada cabang kerjaya berbeza.
Bercakap mengenai perasaan diberi penghargaan dalam anugerah berkenaan, penyanyi lagu Aku Penghibur itu bersyukur dan gembira.
"Penglibatan saya dalam industri hiburan selama hampir 45 tahun diberi pengiktirafan oleh Nona. Alhamdulillah, saya amat bersyukur," katanya ringkas.
Selain Jamal yang membawa pulang trofi kategori Nona Mens' Legend Award, ikon lain menerima anugerah berkenaan adalah Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah (Nona Superhero Award), Syed Saddiq (Nona Men's Inspiring Award), Awal Ashaari (Nona Men's Style Icon Award) dan ramai lagi.
Comments