top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

"Saya telah hilang majoriti" -Muhyiddin

16 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan tidak dapat menyambut rayuan rakyat Malaysia yang mahukan beliau meneruskan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.


Muhyiddin yang kini dilantik sebagai Perdana Menteri caretaker berkata, susulan itu beliau telah mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.


"Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”. Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.


"Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat," katanya dalam perutusan khas, pada Isnin.


Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, surat peletakan jawatan tersebut telah dipersembahkan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.


"Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun lima belas Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.


"Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen," katanya lagi.


Menerusi Perutusan Khas berdurasi 15 minit itu, Muhyiddin turut menegaskan bahawa beliau sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat negara ini.


Jelas Perdana Menteri kelapan itu, semua rakyat Malaysia dianggap seperti anaknya sendiri.

"Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat.


"Saya optimis bahawa negara kita akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat. Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.


"Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.

bottom of page