• newsatmy

Sean dapat talian hayat

19 April 2021

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Sean Ghazi mendakwa syarikatnya, Baby Grand Productions Sdn Bhd hampir 'gulung tikar' selepas tidak beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Bagaimanapun, Sean mendapat bantuan 'talian hayat' apabila ditawarkan Dana Inisiatif Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), baru-baru ini.


"Ada tiga projek diusahakan dan sedang beroperasi iaitu platform persembahan secara 'live', Bobo KL; studio digital yang baru dibangunkan, Bobo Studio dan kumpulan Tarakuca Band yang memiliki 17 anggota.


"Sejak PKP dilaksanakan, semua program terpaksa dihentikan. Pernah terdetik dalam hati untuk menamatkan operasi syarikat yang diusahakan sejak enam tahun lalu.


Sean bersyukur mendapat bantuan dana CENDANA bagi membolehkan operasi syarikat diteruskan selepas berdepan impak penularan COVID-19. Foto IG Sean Ghazi


"Mujur ada bantuan dana CENDANA. Dengan geran sebanyak RM100,000, dapatlah saya teruskan bisnes ini dan menyelamatkan kakitangan seperti pemuzik, pekerja belakang tabir dan artis yang diuruskan," katanya kepada BH Online.


Syarikat milik pelakon yang terkenal dengan watak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi teater P Ramlee The Musical ini menjadi antara 575 penerima layak mendapat Inisiatif Pemulihan CENDANA membabitkan dana bernilai RM10 juta.


Dana ini adalah sebahagian daripada RM150 juta diperuntukkan di bawah PENJANA untuk industri kreatif khusus bagi individu, kumpulan, kugiran dan organisasi yang terbabit dalam pelbagai kegiatan seni.


Sementara itu, mengulas kehilangannya dari radar seni, pelakon filem Anna And The King ini berkata dia masih lagi aktif, cuma aktivitinya itu tidak dihebahkan.


"Saya masih lagi menyanyi dan banyak berlakon untuk produksi di Singapura. Sesekali saya terbabit dalam teater.


"Sebelum ni, saya banyak membuat persembahan di kelab saya sendiri. Saya lebih suka dengan persembahan seperti itu kerana lebih intim dengan penonton.


"Walaupun sibuk menguruskan bisnes, namun, minat untuk merakamkan lagu baharu masih ada.


"Cuma masih ada 'saham' lagikah orang seperti saya ini?" katanya yang popular dengan lagu Ku Impikan Bintang dan Semalam ini.


-Berita Harian