top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Sekarang bukan masa sesuai berebut singgahsana politik - Syed Ali

6 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Sekarang bukan masa sesuai bagi mana-mana pemimpin politik berperang merebut singgahsana kuasa ketika rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan harian yang semakin tertekan akibat penularan pandemik COVID-19.


Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, adalah amat menyedihkan melihat telatah sesetengah pemimpin politik yang sedikit pun tidak berasa malu dengan sibuk berpolitik.


Tegasnya, ia semakin terkesan apabila indeks harian kes jangkitan wabak COVID-19 masih tidak menampakkan tanda-tanda penurunan manakala jumlah kes kematian menakutkan dan membimbangkan.


"Sebagai pemimpin dan pemain politik, mereka sepatutnya menunjukkan perilaku yang lebih berhemah dengan berkongsi pandangan dan idea membantu pihak kerajaan dalam usaha menangani situasi semasa dan menyelamatkan rakyat serta negara daripada wabak COVID-19.


"Sebaliknya apa yang berlaku hari ini, ada sesetengah pemimpin politik sibuk mencatur strategi untuk meraih kuasa sehingga berlaku pergeseran sesama sendiri dan secara tidak langsung, mencetuskan rasa meluat rakyat terhadap mereka," katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau pada Isnin.


Dalam pada itu, Syed Ali yang juga Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berkata, keadaan menjadi semakin bercelaru apabila ada pihak yang seolah-olah cuba mengheret pihak istana turut sama ke dalam kancah politik.


"Tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku jika mereka memahami prinsip demokrasi dan Raja Berpelembagaan.


"Dalam masa yang sama, pihak kerajaan semasa juga seharusnya lebih peka dan telus dalam menjalankan tanggungjawab dengan bersedia mendengar pandangan, keluhan serta rayuan pelbagai pihak termasuk daripada rakyat berhubung pelbagai isu semasa seperti pembukaan semula persidangan Dewan Rakyat.


"Kerajaan juga disarankan agar lebih bersifat terbuka dalam mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan menangani pandemik COVID-19 dan isu berkaitan termasuk memberi tumpuan ke arah membaiki kehidupan rakyat yang semakin lumpuh," ujarnya.


Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.


Kenyataan itu menambah, kerajaan turut bersetuju memaklumkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pemakluman itu.


Sementara Mesyuarat Khas bagi Dewan Negara adalah selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021.


Kata kenyataan itu lagi, mesyuarat ini akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).




--Awani

bottom of page