• newsatmy

Sektor komoditi sumbang RM85.1 bilion kepada KDNK

9 Mac 2021

SEKTOR komoditi dan produk berasaskan komoditi telah menyumbang sebanyak RM85.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 31 Disember tahun lalu.


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia sekali gus menjadikan sektor komoditi sebagai antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.


Menurut Mohd. Khairuddin, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM48.3 bilion disumbangkan oleh sektor sawit.


“Bagi memastikan prestasi sektor komoditi negara kekal mampan, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran amat diperlukan.


“Faktor ini adalah penting agar produktiviti sektor komoditi dapat dipertingkatkan lagi bagi menjana pendapatan negara,” katanya ketika berucap bagi merasmikan program Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 secara maya, hari ini.


Baca artikel berkaitan: Peningkatan ses untuk penyelidikan mekanisasi, automasi sawit


Karnival secara dalam talian anjuran bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia itu menumpukan beberapa industri dalam sektor komoditi seperti sawit, getah, kayu-kayan, kenaf, koko dan lada dengan lebih 60,000 kekosongan jawatan.


Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, sektor komoditi amat memerlukan tenaga kerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.


Atas dasar itu, katanya, kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) turut memberi tumpuan terhadap usaha membangun dan memperkasa pembangunan modal insan terutama bagi meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir dan separa mahir.


Beliau berkata, kementerian juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi adalah kritikal serta dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.


“Saya dimaklumkan bahawa dalam sektor industri komoditi khasnya sektor komoditi sawit, dianggarkan sebanyak 75 peratus diisi oleh tenaga kerja asing sebelum ini.


“Justeru, program karnival hari ini dilihat sebagai satu platform yang amat baik untuk membantu pihak industri bagi mendapatkan pekerja dengan kadar segera sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19,” jelas beliau.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.