Selamat berjaya,Damok sertai Moto3-Peja
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbangga pelumba tempatan, Syarifuddin Azman atau dikenali sebagai Damok, akan beraksi pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia bermula 21 hingga 23 Oktober depan menerusi tiket wild card dalam kelas Moto3
Sambil mengucapkan selamat berjaya kepada Damok yang berusia 21 tahun, Ahmad Faizal berharap negara akan ada lebih ramai pelumba tempatan dalam sukan permotoran dapat dilahirkan.
“Good luck Damok! Malaysia boleh!
“Semoga lebih ramai bakat pelumba tempatan dapat dilahirkan.
“Melihat kepada pelumba-pelumba yang ada sebelum ini seperti Hafizh Syahrin dan Zulfahmi, nescaya tidak mustahil kita bakal mempunyai pelapis baharu dalam sukan permotoran,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Faizal hadir menyempurnakan majlis pelancaran penganjuran sukan permotoran berprestij itu di Dewan Filharmonik Menara Berkembar Petronas, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan sentiasa memberi komitmen untuk meningkatkan sukan permotoran di peringkat akar umbi.
Selain itu, katanya, penganjuran MotoGP diharap bukan sahaja memberi impak positif kepada sukan permotoran tetapi, turut meningkatkan ekonomi negara.
Selepas dua tahun sunyi akibat pandemik Covid-19, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal bergema semula dengan deruman enjin motosikal berkuasa tinggi dengan kembalinya Petronas Grand Prix Malaysia 2022.
Sukan permotoran antarabangsa edisi ke-23 dan yang tertua di Malaysia itu akan berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober depan.
Sukan edisi ke-23 itu menyaksikan Petronas selaku penaja utama memeterai perjanjian dengan pemegang hak perlumbaan MotoGP™, Dorna Sports pada awal tahun ini.
Para peminat kali ini boleh melepaskan kerinduan dengan bertemu pelumba bertaraf antarabangsa dan mendapatkan tandatangan mereka dalam sesi pertemuan khas bersama pelumba yang dianjurkan pada 21 Oktober ini nanti.
Manakala program yang bakal mencuri tumpuan peminat pada MalaysianGP2022 adalah Peraduan Cabutan Bertuah Mega yang membolehkan dua pemenang bertuah akan membawa pulang motosikal Yamaha NVX dan Y15ZR edisi terhad SIC yang bernilai RM22,000.
Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini, SIC juga akan menawarkan promosi tiket perlumbaan yang boleh dibeli menerusi laman web rasmi SIC www.sepangcircuit.com.
コメント