• newsatmy

Selangor, Johor, KL dikenal pasti lokasi panas 'scammer

12 April 2021


SUNGAI PETANI: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengenal pasti tiga negeri sebagai lokasi panas yang aktif dengan kes penipuan atau 'scam'.


Menurut Pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaa'cob, antara negeri terbabit adalah Selangor yang merekodkan 1,050 kes diikuti Kuala Lumpur (615 kes) dan Johor (497 kes) yang dilaporkan dalam tempoh Januari hingga 31 Mac tahun ini.


Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga bulan itu, jumlah keseluruhan kes di negara ini membabitkan 5,078 kes.


"Bagi jumlah keseluruhan, kes penipuan di negara ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2018 hingga tahun lalu juga menunjukkan peningkatan iaitu 13,568 kes (2018) manakala 2019 (14,245 kes) dan 17,553 kes (2020).


"Manakala jumlah tangkapan pula membabitkan 13,645 individu ditahan pada tahun 2018, manakala 13,835 orang (2019) dan 15,440 orang tahun lalu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, pada Isnin.


Zainuddin berkata, kes 'scammer' membabitkan pelbagai kes iaitu Macau Scam, Love Scam, tipu bomoh, khidmat pesanan ringkas (SMS), tipu tanah, kad kredit, penyamaran, tipu perniagaan, pinjaman tidak wujud dan banyak lagi.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan menjawab sebarang panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali.


Katanya, sindiket ini bukan hanya mensasarkan mangsa dari golongan biasa tetapi membabitkan golongan profesional seperti doktor, peguam dan ahli perniagaan.


Zainuddin berkata, di Kedah, empat daerah iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu dan Kulim merekodkan kes penipuan yang paling banyak setakat ini.


Menurutnya, daerah Kuala Muda merekodkan jumlah 1,079 kes yang membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM41.5 juta dalam tempoh tiga tahun serta tiga bulan sejak Januari hingga Mac lalu.


Justeru, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah memberi kata laluan atau dokumen diri kepada orang tidak dikenali bagi mengelak diri ditipu.


Katanya, kesedaran masyarakat mengenai kes libatkan 'scammer' sejak akhir-akhir ini menyebabkan kes menurun dan sekiranya mereka mengesyaki sesuatu mencurigakan, mereka boleh menghubungi polis atau membuat semakan di laman sesawang JSJK di internet. -Astro AWANI