Selepas 100 hari kerajaan campuran PH-BN terbukti masih disangsi dan diragui
100 HARI pertama pentadbiran Kerajaan Campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti masih disangsi dan diragui kemampuannya. Menurut kajian terbaru yang dibuat oleh firma penyelidik 02 Research Malaysia hanya 35 peratus rakyat Malaysia yakin yang kerajaan ini akan mampu melaksanakan manifesto atau janji-janji pilihan rayanya.
Masyarakat bukan-Melayu melihat kerajaan ini masih gagal menyatupadukan rakyat Malaysia apabila dalam kajian yang sama 70 peratus masyarakat Melayu masih tidak berpuas-hati dengan kerajaan ini berbanding 38 peratus Cina dan 48 peratus India yang berpuas hati. Mengapa ada jurang perbezaan pandangan antara kaum Melayu dan bukan-Melayu dan mengapa ia berlarutan tanpa diusahakan penyatuan?
Kepimpinan Perdana Menteri ke-10 dilihat tidak mampu menyaingi mana-mana Perdana Menteri sebelum ini, dan Kabinet yang dibentuknya juga seakan bergerak bersendirian tiada dalam satu pasukan.
Dalam kajian melibatkan 10 Menteri kerajaan ini yang terbaik prestasinya, yang muncul nombor satu iaitu Anthony Loke dari DAP cuma mencapai skor 49 peratus dan yang ke-10 Fadlina Sidek dari PKR cuma 26 peratus, kedua-dua skornya menunjukkan peratus gagal iaitu tidak sampai 50 peratus.
Adalah dikesali apabila Menteri tunggal berbangsa India dalam Kabinet Perdana Menteri ke-10 iaitu V. Sivakumar dari DAP hanya memperolehi 23 peratus skor.
Kami mengharapkan masyarakat bukan-Melayu akan bersama masyarakat Melayu dalam menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Campuran ini yang ternyata gagal dan diharapkan dalam Pilihan Raya Umum di 6 buah negeri termasuk Selangor nanti, rakyat berbilang kaum khasnya di Selangor akan bangkit membuat perubahan.
LOW LEE LEONG
Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu
Kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Kommentare