• Arissa Azman

Selepas Yuna dan Layla Sania kini giliran Dolla hiasi kota New York

23 September 2021

SELEPAS wajah Yuna dan Layla Sania menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York kini giliran wajah kumpulan Dolla pula disiarkan di sana.


Berita gembira itu dikongsi oleh salah seorang ahli kumpulan Dolla, Sabronzo melalui kemas kini di laman Instagram pada Rabu.


Melalui kemas kini itu, Sabronzo atau Sabrina Rusli menyatakan keterujaannya dan berterima kasih kepada syarikat rakaman serta Spotify kerana memilih mereka untuk menghiasi papan iklan di sana.


“Dolla is outside! Terima kasih Universal Music dan Spotify membuat impian kami jadi kenyataan,” katanya ringkas di Instagram.


Manakala, Tabby pula menyatakan dia tidak sangka bahawa kumpulannya akan terpilih untuk menghiasi papan iklan di sana dan akan disaksikan diseluruh dunia.


"Kami sangat bersyukur kerana dapat menjadi wakil Malaysia, dan tak pernah terbayang bahawa wajah saya akan disaksikan di seluruh dunia," tulisnya di laman Instagram.


Dolla dianggotai Sabronzo, Tabby, Angle dan Syasya yang bernaung bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia dipilih menghiasi papan iklan berkenaan mewakili penyanyi Malaysia dan Singapura untuk kempen EQUAL oleh Spotify.


EQUAL merupakan program global yang dibawakan dalam memupuk ekuiti atau mengetengahkan penglibatan artis wanita di seluruh dunia.


Pada masa sama, kumpulan Dolla yang popular dengan lagu Impikan juga akan muncul dengan single terbaharu bertajuk Berani pada 24 September ini.