top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Semangat Nik Akif masih kental meskipun kehilangan bapa tercinta

21 OKTOBER 2021

SEPANG: Pemergian bapa tercinta sehari sebelum Nik Akif Syahiran Nik Mat berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia bagi menyertai pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022, tidak melunturkan semangatnya untuk membantu pasukan negara melakar kejayaan pada perlawanan yang bermula hujung bulan ini.


Pemain skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan itu, berkata beliau mahu menunaikan hasrat arwah bapa yang mahu melihatnya berjaya sebagai pemain skuad kebangsaan terutama pada saingan kelayakan dari 25 hingga 31 Okt ini.


"Bagi saya, ini impian ayah untuk tengok saya berjaya. Saya kena tunaikan janji untuk jadi pemain terbaik, harap ayah tenang di sana," kata pemain Terengganu FC itu sebelum berlepas ke Mongolia bersama rakan sepasukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.


Bapanya, Nik Mat Nik Yusof, 50, meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kuala Krai, Kelantan, pagi Selasa.


Sementara itu, Nik Akif yang bergegas pulang ke Kelantan tengah hari Selasa untuk menatap wajah arwah bapanya buat kali terakhir sebelum dikebumikan pada malamnya, berjanji akan menjaga keluarganya sebaik mungkin selepas ini.


Pemain berusia 22 tahun itu juga berharap dapat menggunakan pengalaman beraksi pada pusingan kelayakan dalam saingan yang sama dua tahun lepas, untuk tampil lebih cemerlang pada aksi di Mongolia nanti.


Sementara itu, ketua jurulatih Brad Maloney berkata pasukannya sentiasa ada di belakang menyokong Nik Akif bagi memastikan pemain itu mampu melalui detik-detik sukar yang melandanya ketika ini.


Dalam pada itu, pengurus pasukan Datuk Posa Majais yakin skuad B-22 cukup bersemangat untuk mencipta kejutan di Mongolia susulan persembahan memberangsangkan ditampilkan pada tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Malaysia baru-baru ini.


Walaupun tewas 1-2 dalam aksi pertama menentang juara Liga Premier, Negeri Sembilan FC pada 12 Okt, skuad kebangsaan bangkit mencipta kemenangan ketika berdepan pasukan Liga Super, Penang FC dengan kemenangan 2-1 pada Jumaat lepas dan mengejutkan Kedah Darul Aman FC, 2-0 pada Isnin lepas.


Pada kempen kelayakan itu nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar.


Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Okt, Mongolia (28 Okt) dan Thailand (31 Okt) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.



-- BERNAMA

bottom of page