top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Semasa darurat boleh bersidang - Agong

Updated: Feb 25, 2021

24 Febuari 2021

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menyatakan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh proklamasi darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang akan dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Menurut kenyataan media Istana Negara hari ini, pandangan Seri Paduka Baginda itu seperti mana termaktub dalam sub perenggan 14(1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Seri Paduka Baginda yang menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini telah menegaskan dalam sesi itu bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan iaitu setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

“Oleh demikian tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan Proklamasi Darurat menghalang Parlimen bersidang adalah tidak tepat.

“Ditegaskan bahawa perkenan Seri Paduka pada nasihat Perdana Menteri mengenai pengisytiharan proklamasi darurat 12 Januari lalu adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Dato Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Menurutnya, dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan AhliAhli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melaksanakan tanggungjawab berbahas dan bertindak secara rasional agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.

Dalam pada itu, kata kenyataan itu, Seri Paduka juga mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi kerajaan yang berkait di atas usaha merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula hari ini.

Tambah kenyataannya, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak COVID-19.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera,” kata kenyataan itu. - PN Online



Press release 24 Februari
.pdf
Download PDF • 108KB


bottom of page