top of page
  • newsatmy

Semua Menteri UMNO Kekal Dalam Kabinet

31 Mac 2021

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, mengesahkan semua menteri daripada UMNO tidak akan meletakkan jawatan masing-masing sebagai anggota Kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.


Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata sepakat itu dicapai selepas menteri daripada UMNO berkenaan mengadakan pertemuan dengannya pada Isnin lalu.


“Menteri-menteri daripada UMNO telah menemui saya pada hari Isnin 29 Mac 2021. Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka dalam kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU) bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-15 nanti.


“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.


Sebelum ini, media melaporkan PAU Ahad bersetuju untuk menyerahkan mandat kepada Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menentap tarikh bersesuaian bagi menarik sokongan secara ‘en bloc’ diberikan kepada Kerajaan PN.


Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata perwakilan juga bersetuju bahawa Presiden dan MKT boleh membuat keputusan berkenaan pada bila-bila masa dari sekarang jika kerajaan PN tiada indikasi untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15, dalam masa terdekat.


Berikutan itu Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, meminta semua perwakilan dan pemimpin UMNO yang hadir PAU 2021 bangun bagi membuktikan sokongan mereka terhadap usul berkenaan.


Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata langkah berkenaan penting kerana beberapa orang menteri daripada UMNO memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.


Justeru, Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu peletakan jawatan mereka daripada Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.


“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet.


“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya.



bottom of page