top of page
  • cik skod

'Seolah kembali normal' selepas 2 tahun tiada F1,


SINGAPURA,01 Okt: Orang ramai berpusu-pusu pergi ke litar perlumbaan Marina Bay semalam (30 Sep), iaitu pada hari pertama Formula One (F1) Grand Prix Singapura dijadual berlangsung di sini selama tiga hari. Edisi ke-13 perlumbaan itu diadakan semula selepas dua tahun. Sesetengah pengunjung malah memakai jersi atau topi pasukan F1 kegemaran masing-masing untuk menyaksikan sesi latihan para pelumba. Ada juga yang datang untuk menyaksikan persembahan artis-artis kegemaran mereka. Pada sesi latihan pertama pada 6.00 petang, orang ramai beratur panjang dari salah satu pintu masuk, mengelilingi Taman Peringatan Perang di Beach Road hingga ke pintu masuk pusat beli-belah Raffles City.


Orang ramai berkesempatan menyaksikan aksi F1 dari bangunan Galeri Nasional pada 30 Sep 2022. (Gambar: Low Youjin/TODAY)

Di hotel-hotel berhampiran seperti Swissotel The Stamford atau Marriot Hotel Singapore South Beach, para tetamu berkesempatan menyaksikan perlumbaan dengan pemandangan yang luas bagi beberapa bahagian litar perlumbaan. Sungguhpun demikian, keprihatinan terhadap COVID-19 dapat dilihat pada sesetengah pengunjung.

Ada pengunjung yang memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga dan terdapat papan tanda yang mengingatkan para penonton bahawa mereka mesti lengkap divaksin. Namun ia tidak mematahkan semangat mereka. Bagi Encik Suhaini Ahmad, seorang jurutera berusia 37 tahun, Grand Prix Singapura kali ini memberikannya peluang untuk memenuhi janjinya kepada dua orang anak lelakinya, berusia lapan dan tujuh tahun, untuk membawa mereka ke perlumbaan itu. "Saya berjanji saya akan membawa mereka ke Sepang tetapi COVID-19 melanda," kata rakyat Singapura itu, yang merujuk kepada litar perlumbaan di Selangor, Malaysia. Namun di luar litar perlumbaan, acara berprofil tinggi itu tidak semestinya merancakkan perniagaan di sekitar kawasan Marina Bay. Meskipun kelihatan lebih ramai pengunjung dan pelancong meninjau-ninjau pusat beli-belah seperti Raffles City, Marina Square dan Millenia Walk, para peniaga berkata kehadiran lebih ramai pengunjung tidak semestinya bermakna mereka memasuki kedai untuk membeli-belah. Sebagai contoh, Encik Denver Bautista, pengurus cawangan restoran Kenny Rogers di Marina Square berkata hasil penjualan semasa makan tengah hari merosot lebih separuh berbanding S$2,000 yang lazimnya diraih pada hari biasa. Sebaliknya, ada juga kedai-kedai yang menyatakan perniagaan mereka bertambah rancak. Kedai kasut Skechers di Marina Square lazimnya mempunyai lebih 100 pelanggan menjelang 5.00 petang pada hari biasa. Seorang pekerja, yang meminta agar namanya dirahsiakan kerana tidak diberi kebenaran untuk bercakap dengan media berkata kedai itu dikunjungi sekitar 90 pelanggan menjelang 5.00 petang, tetapi hasil penjualannya sama seperti perbelanjaan 400 pelanggan.


Media Corp.

bottom of page