top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Sesi pertemuan bersama Tunku Ismail berjaya yakinkan sebahagian guru ambil vaksin

21 September 2021

JOHOR BAHRU: Sesi pertemuan dan penerangan bersama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini sedikit sebanyak telah ‘membuka mata’ serta meyakinkan segelintir guru yang sebelum ini menolak vaksin COVID-19, untuk mengambil vaksin.


Mendedahkan perkara ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata daripada 779 guru, seramai 216 guru telah bersetuju untuk menerima vaksin setelah mendengar pengalaman dan penerangan dari Tunku Ismail sendiri.


“Saya difahamkan jumlah guru yang menolak vaksin semakin berkurangan. Kita masih terus memberikan penerangan dan kefahaman kepada mereka dan saya menjunjung kasih, berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah mencemar duli, berjumpa dalam sesi temubual dengan guru-guru tersebut,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya, di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status kumpulan guru di negeri itu yang sebelum ini dilaporkan enggan menerima vaksin berkenaan.


Mazlan berkata bagi baki guru iaitu 563 orang yang masih belum membuat keputusan untuk menerima vaksin, majoritinya mempunyai masalah kesihatan serta wanita mengandung.


Bagaimanapun, beliau berkata jumlah guru yang menolak vaksin masih kecil melibatkan kurang satu peratus daripada keseluruhan guru di Johor melibatkan kira-kira 48,000 guru.

bottom of page