• Mohamed Nizam Hassan

Setahun COVID-19 direkodkan di Malaysia


Hari ini genap setahun Malaysia merakamkan kes jangkitan COVID-19 yang pertama.


Ketika menghampiri 365 hari, Malaysia juga merekodkan jangkitan paling tinggi iaitu 4,275 kes pada 23 Januari lalu.


Tanpa kita sangka, kita seolah-olah kehilangan kebebasan yang dikecapi selama ini.


Ramai menarik nafas panjang bila agaknya segala kesukaran yang dilalui akan berakhir.


Namun bayang sinaran yang diharapkan belum jelas.


Pada 25 Januari 2020, negara telah merekodkan kes pandemik COVID-19 pertama, yang ketika itu masih dikenali sebagai 2019-nCoV.


Kes itu dikaitkan dengan kehadiran warga China yang memasuki negara melalui Tambak Johor.


Sementara ramai bersimpati dengan krisis kesihatan terburuk dialami oleh rakyat negara itu, berdasarkan kepada pengalaman masa-masa lalu, ramai daripada kita beranggapan Malaysia bebas daripada wabak ini.


Tanggapan itu meleset tidak sampai dua bulan. Rasa lega ketika itu tidak kekal lama. Sebaliknya, kes jangkitan meningkat dengan ketara.


Daripada satu digit ia mencecah kepada dua digit dan seterusnya tiga dan empat digit dalam tempoh tidak sampai satu tahun sebagaimana disaksikan pada hari ini.


Hari ini kita berhadapan dengan norma baharu kehidupan yang sehingga awal 2020, tahun yang dijadikan sebagai indikator kemajuan negara dalam pelbagai segi, tidak disangkakan sama sekali.


Paling jelas, norma baharu kini dihayati, dilalui dan dialami di setiap peringkat kehidupan tidak kira sektor dan status sosioekonomi.


Ia telah memberi impak yang dahsyat ke atas setiap individu, keluarga, institusi, sektor dan juga kerajaan.


Sudah pasti impaknya akan tetap berterusan untuk tempoh beberapa tahun lagi sebelum keadaan kembali normal.


Ketika ini, setiap rakyat Malaysia tidak punya pilihan selain menjadikan norma baharu sebahagian daripada kehidupan mereka.


Banyak pengajaran dan pengalaman yang kita peroleh sepanjang 365 hari lalu.


Pandemik paling buruk dalam dunia ini telah membawa kepada kepentingan menitikberatkan gaya hidup sihat dan kebersihan sepanjang masa.


Tidak dapat dinafikan Kementerian Kesihatan menekankan kepentingan aspek ini sejak beberapa tahun sebelum COVID-19 menjelma, tetapi tidak mendapat sambutan pematuhan menyeluruh masyarakat.


Suka atau tidak, perlu ditegaskan wabak ini telah menyegarkan semula kepentingan mengamalkan kebersihan sepanjang masa.


Badai wabak ini turut telah menggugat punca pendapatan kebanyakan rakyat. Ada yang hilang pekerjaan dan terpaksa bercuti tanpa gaji.


Terdapat syarikat yang terpaksa gulung tikar dan ada berada di ambang muflis.


Ramai menjadi miskin dalam era moden. Ada yang berhadapan dengan kemerosotan simpanan.


Siri bantuan kerajaan menerusi pakej rangsangan selain sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan kerajaan sedikit sebanyak dapat mengubati detik-detik sukar yang dialami oleh rakyat.


Jika COVID-19 telah membawa 70 peratus impak negatif, pandemik ini juga telah mewujudkan peluang-peluang baharu untuk menjana rezeki.


Beberapa tahun sebelum berhadapan dengan serangan COVID-19, dunia telah dikejutkan oleh impak yang diakibatkan oleh teknologi disruptif.


Teknologi disruptif ini seumpama syiling mempunyai dua wajah – impak positif dan impak negatif.


Jumlah rakyat yang berhadapan dengan masalah emosi dan psikologi juga tidak harus dipandang remah. Secara tidak langsung kehadiran COVID-19 telah menggugat keharmonian hidup.


Sebahagian rakyat tidak dapat berhadapan tekanan hidup akibat COVID-19. Malah ada yang tidak boleh menerima kesan atau impak norma hidup baharu.


Misalnya tidak semua dapat menyesuaikan dengan tekanan yang diakibatkan oleh norma baharu kehidupan dan juga impak COVID-19.


Kesatuan rakyat


Satu aspek positif, COVID-19 juga membawa kepada kesatuan rakyat untuk menangani bersama cabaran terbaharu ini.


Kita tidak menglami krisis besar selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan keganasan komunis.


Meskipun wujud perbezaan politik keseluruhan rakyat terus memperlihatkan komitmen dan iltizam.


Bermula daripada Yang di-Pertuan Agong sehingga rakyat jelata. Pun begitu tidak dapat dinafikan masih banyak yang perlu dilakukan.


Rakyat perlu mempertimbangkan tahap pematuhan yang tinggi. Rakyat tanpa mengira kaum perlu saling bantu antara mereka dalam pelbagai segi.


Diharap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang bukan sahaja harus diutamakan dalam memerangi COVID-19, tetapi dalam aspek kehidupan yang lain.


Hal ini kerana krisis boleh datang dan pergi dalam apa jua bentuk.


Setiap warga perlu membina tekad untuk mematuhi setiap kerangka perundangan bagi melahirkan sebuah negara yang maju dalam semua segi termasuk memiliki disiplin, etika dan integriti tinggi. COVID-19 sebenarnya telah memberi pengajaran yang amat penting dalam aspek.


Pada masa yang sama COVID-19 juga telah membawa kepada keperluan untuk bersiap sedia bagi menghadapi krisis besar pada masa akan datang, di samping memperkasakan strategi kemudahan awam khususnya dalam sektor kesihatan di seluruh negara terutama di kawasan-kawasan pedalalam. Juga fasiliti bidang-bidang lain.


Kini masa untuk melihat semula kerangka strategi keseluruhan infrastruktur, dasar dan program sebagai kesiapsiagaan memperkasakan norma baharu kehidupan.


Di sebalik COVID-19 ramai mengakui bahawa mereka mula menghargai erti kehidupan berkualiti. Hidup ini satu ekosistem.


Kita tidak hidup tanpa hubungan dan kita tidak boleh mengetepikan kepentingannya. Kita bergantung satu sama lain.


Kebergantungan dan perkongsian yang bermakna. Kita perlu ingat bahawa kita telah diberi hadiah yang dinamakan hidup dan kita harus menghargainya.


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang boleh dilihat sebagai satu bentuk ‘berkurung di rumah’, yang hanya bersifat sementara, telah mengeratkan hubungan kekeluargaan.


Kini, ramai yang mula sedar tentang nilai ini meskipun penjarakan sosial telah memisahkan kita.


Sempena setahun COVID-19 di Malaysia, kita seharusnya memberi penghargaan kepada staf barisan hadapan yang terus bertungkus-lumus dalam perang melawan wabak ini, terutama pegawai-pegawai perubatan.


Virus ini akan menjadi sebahagian daripada kita dan akan kekal berada dalam ekosistem kehidupan manusia.


Kita doakan keluarga yang telah kehilangan insan yang tersayang akibat pandemik ini diberikan kekuatan untuk menghadapi detik-detik yang sukar dan norma baharu.


Sekiranya pandemik selesema 1918, yang lazimnya disebut sebagai Selesema Sepanyol, telah mengubah wajah kehidupan satu dunia lebih satu abad lalu, wabak COVID-19 juga telah dan akan membawa perubahan ketara yang tidak disangka sama sekali.


Semoga segala pengalaman dan pengajaran yang diperoleh akan membawa kehidupan yang lebih baik umat manusia.


Ketika kita melampaui batasan jarak sosial dan memasuki norma kehidupan pasca-COVID-19, apa yang penting setiap individu akan mengambil pengajaran dan petua baharu yang diperoleh bagi membina kehidupan yang lebih bermakna.


Kehidupan ini merupakan satu perjalanan yang penuh dengan pengajaran. Kita akan belajar dan terus belajar.


Pandemik COVID-19 satu lagi lipatan sejarah yang akan membawa kita ke hadapan.


Apa yang penting adalah sejauh mana segala pengalaman dan pengajaran ini akan digunakan untuk membina kehidupan yang lebih baik bagi setiap individu yang ada pada hari ini dan bagi generasi akan datang.


KRONOLOGI KES COVID-19 DI MALAYSIA 2020-2021


• 25 Januari 2020

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan kes pertama 2019-nCoV membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.


• 12 Mac

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik global selepas mengambil kira peningkatan ketara kes.


• 16 Mac

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac.


• 27 Mac

Kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM259 bilion.


• 28 April

Kerajaan mengisytiharkan Malaysia memasuki fasa pemulihan.


• 5 Jun

Kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion, tambahan kepada Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN Tambahan.


• 26 Ogos

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020.


• 6 Oktober

Buat pertama kali negara mencatatkan 691 kes, paling tinggi dalam satu hari sejak 23 Januari.


• 18 November

Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan proklamasi darurat bagi mengelak pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.


• 10 Disember

Jumlah kes harian positif COVID-19 di negara ini mencatatkan angka tertinggi dengan 2,234 kes.


• 22 Disember

Muhyiddin menawarkan diri untuk menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19. Kerajaan mengumumkan akan menanggung RM77.35 bagi setiap rakyat Malaysia melalui pemberian vaksin COVID-19.


• 12 Januari 2021

Proklamasi darurat


• 13 Januari

Pengenalan semula PKP di lima buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur.


• 18 Januari

Kerajaan mengumumkan RM15 bilion menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi membantu rakyat dan perniagaan serta melindungi ekonomi negara.


• 22 Januari

Seluruh negara berada di bawah PKP kecuali negeri Sarawak selepas Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis turut dikenakan PKP.


• 23 Januari

Kes jangkitan harian paling tinggi 4,275 direkodkan sejak 25 Januari 2020.



Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.