- admin
Shafie Shamsuddin pengerusi baharu kumpulan syarikat busana Siti Khadijah
KUALA LUMPUR,02 Okt: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AEON Co. (M) Berhad dan AEON Big Sdn Bhd Shafie Shamsuddin dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Siti Khadijah di IOI City Mall, Fasa 2 di Putrajaya, Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah (SK) Holding Sdn Bhd Mohammad Munzir Aminuddin berkata pelantikan itu selaras dengan strategi syarikat yang ingin terus bergerak pantas memperkukuhkan kedudukan serta mengembangkan empayar perniagaan syarikat pengeluar produk Islamik itu.
“SK memerlukan kepimpinan yang berpengalaman untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat ini. Ini adalah masa yang sangat sesuai untuk melantik pengerusi kepada kumpulan SK sejajar dengan strategi pemasaran syarikat yang baru, sekali gus pelancaran konsep butik terkini di IOI City Mall.
"Kami juga percaya dengan pengalaman dimiliki beliau, dapat memacu kejayaan SK ke arah lebih cemerlang pada masa hadapan," kata Encik Mohammad Munzir dalam satu kenyataan pada Sabtu (1 Okt).
Sementara itu, Encik Shafie yakin dan percaya kolaborasi pasukan SK yang dinamik, kreatif dan bersemangat yang diketuai oleh Encik Mohammad Munzir akan terus memberi manfaat kepada para pelanggan.
"Kami akan bersama membangunkan 'ekosistem pengguna baru' yang bakal melangkaui sempadan negara. Kami juga bercita-cita untuk memupuk gaya hidup bermanfaat kepada semua pelanggan SK,” katanya.
Encik Shafie, 52 tahun, yang berasal dari Singapura mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat di dalam dan luar negara dan antara jawatan yang pernah disandangnya ialah sebagai anggota Lembaga Penasihat Alumni Sekolah Perniagaan Nanyang di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura dari 2014 hingga 2021.
Dalam kenyataan berasingan, SK memaklumkan perpindahan butik sedia ada di IOI City Mall, Putrajaya ke sayap baru pusat beli-belah itu hari ini akan menawarkan ruang butik lebih selesa dengan mengetengahkan keindahan gaya hidup Islam.
Setakat ini, SK mempunyai 43 cawangan butik di seluruh negara dan bercadang untuk memiliki sehingga 53 cawangan pada tahun ini.
Comments