top of page
  • Farah

Shahidan cadang kerajaan larang media lapor berita dari ‘sumber’


KUALA LUMPUR, 20 Feb – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan kerajaan mengekang media daripada menyiarkan laporan yang memetik sumber tidak didedahkan identitnya.


Bercakap dalam Dewan Rakyat hari ini, Shahidan berkata, larangan berkenaan wajar bagi mengelakkan sebarang salah lapor daripada media.

“Ada wartawan yang memetik kenyataan atau fakta daripada sumber dan laporan mengenainya disiarkan sedangkan fakta diberikan tidak betul.

“Perkataan sumber ini adakah akan dipastikan supaya tak ada pemberitaan sumber tapi mengikut (identiti) sebenarnya?” soal Shahidan.


Menjawab pertanyaan itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengamal media perlu mencari titik keseimbangan dalam laporan mereka yang melibatkan sumber tidak didedahkan identitinya.


Menurutnya, ini bagi memastikan sumber yang dipetik itu memberikan fakta yang sahih dan tidak menimbulkan fitnah.


Pada masa sama kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, kerajaan menyedari media atau wartawan mempunyai hak tertentu dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Kita juga ambil maklum ada kalangan wartawan, mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

bottom of page