top of page
  • admin

Sistem Gabungan Parti Lebih Baik Untuk Malaysia


KUALA LUMPUR, 27 Sep – Sistem politik gabungan lebih baik untuk Malaysia berbanding dominasi parti tunggal berbilang kaum, yang dilihat tidak bagus untuk mana-mana demokrasi, kata Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.


Katanya, parti gabungan telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah politik Malaysia, kerana memberi kebebasan untuk rakyat membuat pilihan.


Gabungan pelbagai parti lebih berkemungkinan berlaku, memandangkan wilayah utara, selatan, timur dan barat di Semenanjung, selain Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai isu tersendiri.


“Ini yang hebat mengenai Malaysia. Ia menjadikan kita bersifat pelbagai, dan fleksibel dalam berurusan di pentas dunia, dari segi menjalankan perniagaan dengan Indonesia, India dan China. Kita punyai semuanya,” katanya.


Wong yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN berkata, sistem politik gabungan lebih berkemungkinan kekal dalam arena negara ini untuk beberapa dekad akan datang.


“Politik berasaskan kaum perlu dihentikan. Politik ‘gila’ seperti ini menjatuhkan martabat setiap satu daripada kita dari segi nilai-nilai dipegang, dan mesti dihentikan. Jadi, platform pelbagai kaum melibatkan banyak parti adalah yang terbaik,” katanya.


Beliau berkata, adalah penting untuk parti lain percaya dengan idea progresif yang memfokuskan kepada kelas, bukannya isu berasaskan kaum.


Wong juga berkata, kerajaan kuat tidak semestinya “berguna”, malah menyifatkan pada masa ini kerajaan lemah yang terpaksa melaksanakan pembaharuan dalam negara.


Katanya, memorandum persefahaman ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang membuktikan pembaharuan sedang dilaksanakan.


“Kita perlukan pembangkang dan kerajaan yang tersendiri. Bagi saya ‘kerajaan mega’ bukan sesuatu yang patut kita ada.”


Pengarang politik, Lim Teck Ghee minggu lepas menyifatkan parti tunggal berbilang kaum boleh menjadi pengubah keadaan semasa politik negara yang didakwanya berakarkan kaum dan agama.


Beliau mendakwa sistem parti gabungan tidak berjaya dan tidak mampu menyatukan rakyat Malaysia.


Sebaliknya, beliau menganggap apa yang diperlukan adalah parti komponen dalam gabungan bubar dan menubuhkan parti tunggal berbilang kaum yang baharu.

Comments


bottom of page