top of page
  • newsatmy

Siswazah dapat kerja dengan gaji rendah ketika ini perlu bersyukur - Mustapa

5 April 2021

KOTA BAHRU: Golongan siswazah yang mempunyai perkerjaan dengan gaji rendah waktu ini perlu bersyukur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Beliau berkata, ini berikutan pasaran kerja tahun lepas lemah akibat ekonomi negara yang menguncup kepada 5.6 peratus.


"Gaji tak boleh paksa, kita ada gaji minimum, itu boleh paksa (ditetapkan)... RM1,200 itu gaji minimum... yang lain-lain ikut keadaan pasaran... jadi pasaran tahun lepas pasaran lemah.


"Tenaga buruh... permintaan buruh lemah kerana ekonomi kita menguncup 5.6 peratus... itu pun dengan langkah (bantuan) kerajaan, kalau tak ada langkah kerajaan teruk lagi.


"Jadi bagi saya, para graduan yang ada kerja harus bersyukur kerana graduan lain tak ada kerja... atau gaji rendah itu sabarlah... tahun ini ekonomi makin pulih, mungkin bertambah permintaan (pasaran buruh) gaji akan naik," katanya.


Beliau berkata demikian selepas program Malaysia Prihatin di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota Pengkalan Chepa hari ini.


Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan tidak boleh memaksa atau menetapkan gaji tinggi kerana ia biasanya berdasarkan kepakaran dan kemahiran dimiliki individu.


Semalam, Mustapa dilaporkan berkata, kerajaan menjangkakan gaji permulaan bagi siswazah yang memasuki pasaran kerja akan lebih tinggi menjelang pertengahan tahun ini berikutan keadaan ekonomi yang semakin pulih.


- Astro Awani


bottom of page