top of page
  • newsatmy

Skuad Bawah 19 tetap jadi pertaruhan FAM ke Sukan SEA Hanoi – Hamidin

11 Mac 2021

Datuk Hamidin Mohd. Amin tetap bertegas untuk menghantar skuad bola sepak bawah 19 tahun negara ke Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, November ini sebagai medan pendedahan mereka menjelang temasya berikutnya dan Kelayakan Olimpik.


Kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini, keputusan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan dan cadangan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee ini juga bukan bererti mahu memperlekehkan taraf saingan Sukan SEA.


“Bola sepak ke Sukan SEA Hanoi, kami hantar pasukan Bawah 19 kerana kami sasar 2024 mereka akan bermain Sukan SEA berikutnya (Kemboja 2023) dan Kelayakan Olimpik.


“Ini (merupakan) cadangan Pengarah Teknikal FAM dan (keputusan) Exco (12 Januari lalu) ini bukan memperlekehkan Sukan SEA.


“Ada 30 pemain skuad Projek FAM-MSN (Majlis Sukan Negara) yang beraksi dalam Liga Perdana (sekarang). (Malah) ada lagi 19 yang terbaik di luar (skuad itu) yang bermain dengan kelab-kelab negeri,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor hari ini.


Sukan SEA sejak Filipina 2019 mengehadkan saingan bola sepak kepada hanya pemain bawah 22 tahun dan tiga pemain senior namun kejuaraannya sentiasa dilabelkan ‘ibu segala pingat emas’, mengatasi jenis sukan lain.


Kebanyakan negara rantau Asia Tenggara tetap mengutamakan pencapaian terbaik dalam temasya ini namun skuad B22 negara bimbingan Kim Swee gagal melepasi peringkat Kumpulan A di Manila, dua tahun lalu.


Hamidin yang semalam diumumkan sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA Hanoi 2021, turut berharap pengalamannya sebagai pengurus pasukan futsal di Korat 2007 dan bola sepak (Jakarta-Palembang) 2011, bakal banyak membantu tugas yang diamanahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu.


Pelantikannya juga mencatat sejarah kerana inilah kali pertama pemimpin FAM menggalasnya sejak Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya) menyertai Sukan SEAP Bangkok pada 1959.


“Ini satu amanah besar yang perlu diambil dalam membawa nama negara dan memastikan semua sukan bertanding pada tahap persiapan dan semangat yang tinggi.


“Saya juga memerlukan kerjasama MOM dan MSN dalam mencatat satu kejayaan besar di Hanoi. Kita juga perlu bersedia dengan segala kemungkinan berhubung Covid-19 menjelang Sukan SEA, November ini,” katanya.


Hamidin menambah, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Ketua Kontinjen negara ke temasya serantau dwitahunan itu pasti berdepan cabaran tertentu dan baharu namun perlu diambil sebagai satu pendedahan dan pengetahuan yang positif.


“Kalau Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kita sebagai tuan rumah, jadi juara keseluruhan di bawah Ketua Kontinjennya, Datuk Marina Chin tetapi itu tidak akan sama dengan Filipina yang ada 60 jenis sukan dan Vietnam yang mungkin hanya 40.


“Saya akan cuba dan bertindak cepat untuk memahami apakah bidang tugas Ketua Kontinjen. Berjumpa dengan bermacam-macam persatuan sukan. Saya ada cara sendiri dan pusingan pertamanya ialah menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM pada 18 dan 19 Mac ini.


“Niat saya ikhlas dan saya mahu buat yang terbaik untuk negara, selepas itu (Sukan SEA Ke-31) nilailah (pencapaian saya),” katanya

bottom of page